IOI Properties kekal sasaran jualan RM2b pada 2025

IOI Properties kekal sasaran jualan RM2b pada 2025

IOI Properties Berhad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mengekalkan sasaran jualan sebanyak RM2 bilion pada tahun kewangan 2025, walaupun jualan hartanahnya pada separuh pertama 2025 hanya mencecah paras 35 peratus. 

Ta Securities berkata, pihaknya yakin bahawa sasaran itu boleh dicapai dengan permintaan kukuh produk perbandaran terasnya.

Katanya, kumpulan itu juga akan menerima manfaat daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) khususnya bagi Bandar Putra Kulai dan IOI Industrial Park Iskandar Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kumpulan itu juga melihat peningkatan minat terhadap taman perindustriannya di Lembah Klang khususnya di IOI Industrial Park Banting.

“Pihak pengurusan juga mendedahkan, surat niat (LOI) telah dimeterai dengan pengendali pusat data bagi taman perindustrian di Banting dan Kulai,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sebelum ini, IOI Properties meraih pendapatan berjumlah RM1.42 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 berakhir 31 Disember 2024, disokong prestasi kukuh segmen pelaburan hartanah.

Dalam satu kenyataan, IOIPG berkata, walaupun hasil daripada segmen pembangunan hartanah menurun sebanyak 14 peratus, ia diimbangi oleh prestasi kukuh segmen pelaburan hartanah yang terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 53 peratus.

Selain itu, segmen hospitaliti dan rekreasi berjaya menggandakan hasil terutamanya didorong oleh sumbangan daripada tiga penambahan baharu dalam portfolionya iaitu Moxy Hotel, W Kuala Lumpur dan Courtyard by Marriott Pulau Pinang.

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) separuh pertama bagi tahun kewangan 2025 menurun sebanyak 30 peratus kepada RM284.5 juta, berbanding RM405 juta yang diperoleh dalam tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya. 

Mengulas lanjut, TA Securities menjangkakan kekuatan dalam segmen pelaburan hartanah, terutamanya dalam runcit, dengan IOI City Mall kekal sebagai pemacu utama berikutan penghunian yang tinggi.

“Pengurusan melihat potensi peningkatan untuk IMD, kerana kadar sewa semasanya berada di bawah paras pasaran dan boleh diselaraskan ke atas semasa rundingan penyewaan.

“Bagi menyokong usaha itu, IOI Properties merancang untuk memajukan pusat beli-belah dengan meningkatkan aktiviti promosi dan menyusun semula semula susun aturnya bagi memacu jejak yang lebih tinggi. 

“Sementara itu, segmen riadah dan hospitaliti diyakini mencatatkan prestasi lebih kukuh pada tahun kewangan 2025, disokong peningkatan pelancongan, kadar penghunian yang lebih tinggi dan purata kadar bilik harian yang lebih baik.

“Pengambilalihan W KL dan Courtyard by Marriott Penang baru-baru ini, bersama-sama dengan pembukaan Moxy Hotel Putrajaya dan sumbangan yang lebih baik daripada hotel yang telah diubah suai, telah mengukuhkan lagi portfolio kumpulan dan aliran pendapatan berulang,” katanya. 

TA Securities mengekalkan saranan ‘beli’ pada harga sasaran (TP) RM2.97 sesaham.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN