Untung Alang Fried Chicken hampir RM50,000 sebulan

Untung Alang Fried Chicken hampir RM50,000 sebulan

AFC kini mempunyai 17 cawangan sekitar Lembah Klang dan Bertam Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula sekadar membantu peniaga tepi jalan pada usia 15 tahun, Muhammad Rozaimi Muhammad Yani, 27, kini berjaya mengembangkan perniagaan Alang Fried Chicken (AFC) sehingga mencatat keuntungan bersih RM50,000 sebulan.

Dengan modal permulaan hanya RM4,000, beliau nekad memulakan perniagaan sendiri ketika berumur 16 tahun di Kampung Bendahara Selayang dan kini mempunyai 17 cawangan sekitar Lembah Klang dan Bertam Pulau Pinang. 

Muhammad Rozaimi berkata, dirinya mengambil masa 13 tahun untuk mengembangkan perniagaannya dan tidak pernah menjadikan usia sebagai penghalang untuk terus maju dalam bidang keusahawanan.

Menurutnya, sejak awal lagi, AFC sudah mempunyai pelanggan tetap kerana keunikan tepung ayam gorengnya yang diadun sendiri dengan 11 ramuan istimewa.

“Rasa unik inilah yang membuatkan AFC berbeza daripada jenama ayam goreng lain di pasaran.

“Saya pastikan rasa tepung AFC ini berbeza daripada ayam goreng lain. Resipinya adalah buatan sendiri dan tidak akan sama dengan mana-mana jenama lain,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Jualan AFC kini meningkat tujuh kali ganda sejak kempen boikot terhadap jenama makanan segera tertentu, membuktikan sokongan pelanggan terhadap produk tempatan.

Bagi Muhammad Rozaimi, peningkatan jualan ini bukan hanya rezeki buat dirinya, malah menjadi peluang untuk lebih ramai orang mencuba resipi unik AFC.

Mengulas lanjut, Muhammad Rozaimi berkata, jika dahulu beliau hanya mampu menjual sekitar 10 hingga 15 ekor ayam sehari, kini jualan meningkat kepada 70 hingga 80 ekor ayam sehari.

“Permintaan tinggi ini mendorong saya untuk mencari strategi pemasaran yang lebih efektif agar AFC terus berkembang.

“Antara strategi saya adalah dengan mengundang pempengaruh untuk mempromosikan menu yang berada di AFC,” katanya. 

Selain itu, Muhammad Rozaimi berkata, antara keutamaan AFC adalah untuk sentiasa menjaga kualiti makanan dan layanan kepada pelanggan. 

“Saya sentiasa menjaga kualiti dan layanan kepada pelanggan. Sebab itu, selepas AFC tular, pelanggan tetap datang kembali untuk membeli,” katanya.

Beliau turut bercadang memperluaskan perniagaan ke seluruh Malaysia agar lebih ramai rakyat dapat menikmati ayam goreng berkualiti buatan tempatan.

Bukan sekadar ingin mengukuhkan jenama AFC, Muhammad Rozaimi juga mahu membuka peluang kepada lebih ramai individu untuk menjadi usahawan di bawah jenama tersebut.

“Matlamat saya adalah untuk melihat AFC berada di seluruh negara dan memberikan peluang kepada usahawan lain untuk menjana pendapatan. Kita juga mahu menjadi alternatif kepada jenama-jenama yang diboikot supaya pelanggan masih boleh menikmati ayam goreng berkualiti,” katanya.

Baginya, untuk berjaya dalam perniagaan, seseorang harus berani mencuba dan memulakan dengan apa yang ada tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×