Duduk rumah pun boleh berisiko – Nad Zainal - Utusan Malaysia

Duduk rumah pun boleh berisiko – Nad Zainal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT kelibatnya hadir ke sebuah majlis hiburan baru-baru ini, banyak mata yang memandang seakan tidak senang duduk tanda kehairanan.

Bukan apa, umum tahu Nad Zainal baru sahaja melahirkan anak keduanya pada 30 Mac lalu dan sepatutnya jika mengikut kebiasaan amalan berpantang wanita Melayu, pelakon ini masih perlu duduk berdiam sahaja di rumah.

Pun begitu, dilihat selamba berjalan dan beraktiviti seperti sedia kala, Nad menjadi perhatian dalam kerisauan sementelah dirinya belum benar-benar pulih apatah lagi, anaknya Budi Kalsom dilahirkan secara pembedahan caesarean.

Menjawab pertanyaan itu, kata Nad, sudah tentu dia sedar dirinya masih dalam tempoh berpantang dan baginya, tiada salah jika dia cuma memperuntukkan masa selama satu hari untuk ‘melanggar’ pantang tersebut.

“Ada berbaki belasan hari lagi untuk tempoh itu. Ya, memang ada yang hairan mengapa saya buat keputusan untuk keluar rumah sedangkan diri baru sahaja bersalinkan anak.

“Tapi, sebab saya dah berjanji nak datang ke majlis itu sebelum ini, jadi tak salah pun saya ambil ‘cuti’ sehari daripada tempoh pantang itu untuk keluar sebentar,”katanya.

Bagaimanapun, Nad sedar barangkali ramai yang risau dan prihatin dengan dirinya memandangkan tanggungjawabnya sebagai ibu yang baru melahirkan, tentunya dia perlu meletakkan keutamaan dari aspek keselamatan dan kesihatan.

“Saya hadir ke majlis itu baru-baru ini pun sebab tahu tak ramai orang sangat di sana. Berisiko tinggi? Sebenarnya, kalau kita duduk di rumah saja pun adakalanya boleh berisiko juga.

“Tempoh hari saya ke majlis itu pun kerana urusan kerja. Kalau tak keluar pun berisiko juga dari segi pendapatan. Iyalah, tak pergi kerja macam mana nak ada sumber rezeki?

“Janganlah risau, sebagaimana ibu bapa lain, sejurus sampai di rumah daripada urusan di luar, saya akan bersihkan diri dahulu sebelum pegang anak-anak,”katanya.

Jelas pelakon drama Takdir Yang Tertulis ini, tentu adakalanya kehidupan seperti di zaman pandemik ini dianggap tidak adil dari beberapa sudut atau menimbulkan keluh kesah di hati setiap individu yang terjejas.

Tetapi, adakalanya juga, kata Nad, sebagai seorang manusia biasa, sesebuah pengorbanan itu harus dilakukan.

“Bukan saya tak bimbang dengan keadaan pandemik Covid-19 yang masih belum pulih ini. Tetapi, kita juga kena fikir mengenai ekonomi diri dan keluarga. Pastinya pendapatan juga akan terjejas jika tak dapat bekerja.

“Saya sendiri terfikir, sampai bila tak boleh bekerja? Tak akanlah nak duduk di rumah sahaja. Mahu atau tidak, terpaksa juga berkorban,”katanya.

Empat bulan lagi

Mengenali Nad yang tidak pandai berdiam berpeluk tubuh, dia yang mengakui perkara tersebut sudah berkira-kira hari untuk kembali aktif berlakon.

Kata wanita berusia 30 tahun ini, sudah ada beberapa tawaran lakonan datang kepadanya pada waktu ini dan semua itu membuatkan dirinya semakin tidak sabar untuk menghabiskan tempoh berpantangnya dengan segera.

“Tapi ada yang saya tak tahu lagi sama ada mahu ambil atau tidak. Suami pula beri kata putus, kena tunggu Kalsom berusia empat bulan baru saya boleh kembali bekerja.

“Dia tahu saya tak sabar nak berlakon semula, tapi minta saya tahan dulu keinginan itu sampailah keadaan dah mengizinkan.

“Tapi bila lihat pada isu semasa tentang Covid-19 ini pun, entah kita dapat jalankan penggambaran atau tidak, semuanya tak pasti lagi,”katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keletah anak sulungnya, Fahad Ibrahim, 5, atau Yem mengenai kehadiran adiknya itu, dari kaca mata seorang ibu, Nad menganggap Yem mampu menjadi seorang abang yang baik.

Melihat Yem begitu teruja dengan kehadiran Kalsom kini, kongsi Nad, anak sulungnya itu seakan tidak sabar mahu adiknya membesar supaya dia boleh bermain bersama-sama.

“Hari-hari dia akan ukur ketinggian adiknya dan bertanya pada saya, bila Kalsom nak membesar? Lagi satu, saya perasan, kalau kita puji adik, dia pun kita kena puji sekali.

“Kalau tidak, dia akan tanya kenapa saya atau ayahnya tak puji dirinya. Biasalah, kerenah anak-anak begini, rasanya semua ibu bapa akan melaluinya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×