Menjamu selera dengan konsep klasik dan dibuai pula dengan lagu-lagu terbaik seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, suasana seperti ini seakan membawa pengunjung kafe Warung Orang
Lama yang terletak di tengah pekan Nilai merentas masa untuk kembali ke zaman era 1970-an.

Dikendalikan pasangan suami isteri iaitu Hairol Izad Redzuan, 42, dan Nathilah Mohd. Said 42 bersama rakan kongsi mereka, Sarah Rashid, 42, Warung Orang Lama sudah pastinya juga tidak ketinggalan menawarkan aneka makanan lazat bagi menambat selera orang ramai.
Hairol Izad berkata, sebelum wujudnya kafe itu, dia telah mengusahakan produk siap untuk dimakan iaitu sambal ikan bilis dengan jenama Sambal Bilis Orang Lama.
Ceritanya, pada ketika itu dia hanya beroperasi dari rumah sahaja.
“Kemudian saya membuka kafe pada awal bulan tahun lalu yang diberi nama Warung Orang Lama berkonsepkan retro dengan setiap menu kami berasaskan kepada sambal bilis.
“Awal pembukaan kafe kami hanya mengetengahkan menu lempeng dan nasi lemak tetapi melihat kepada permintaan, kami kemudiannya turut menggabungkan gaya moden dengan turut menyediakan barista (pembuat kopi) di sini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di kedai tersebut yang terletak di Jalan BBN 1/3D Putra Nilai, Nilai, Seremban, Negeri Sembila, baru-baru ini.
Katanya lagi, dekorasi kafenya itu termasuk ruang makan yang mampu memuatkan hampir 60 pelanggan pada satu-satu masa juga dihiasi dengan pelbagai barangan antik.

“Setiap menu makanan kafe ini juga diinspirasikan mengikut kepada filem-filem klasik P. Ramlee ditambah pula dengan lagu-lagu terkenal seniman negara itu, ia pastinya menggamit memori serta kenangan lama terutama buat pelanggan yang melalui sendiri zaman itu,” katanya.
Kata Hairol Izad lagi, kesemua set makanan berasaskan sambal bilis di kafe itu ditawarkan pada harga berpatutan dan disediakan sendiri olehnya dan isteri.
“Nasi Lemak Madu Tiga (disertakan dengan ayam) dan Lempeng Bujang Lapok (lempeng biasa disertakan sambal tumis/gula/susu) adalah antara set menu yang menjadi pilihan ramai.
“Ada juga set makanan nasi bajet yang digelar Set Kasim Selamat iaitu gabungan nasi putih, telur mata, hirisan bawang, cili dan kicap yang dijual pada harga RM5,” ujarnya lagi.

Dia yang berasal dari Alor Gajah, Melaka menambah, olahan kesemua makanan di kafe berkenaan adalah menepati cita rasa pelbagai lapisan umur.
“Saya mengambil pendekatan mengetengahkan menu utama ala warung supaya pengunjung boleh ‘lepak’ di sini dan boleh menikmati menu ringkas yang disediakan seperti mereka berada di rumah sendiri, jarang ada pengusaha kedai makan buat begini.
“Set menu lepak yang disediakan antaranya set Sarjan Hassan iaitu secawan kopi o dengan biskut kering/gula; cekodok Hamidah iaitu cekodok udang garagau dan set Jula Juli iaitu biskut dan susu segar,” terangnya.
Dalam pada itu, dia memberitahu, pada bulan Ramadan pihaknya merancang membuka ‘booth’ di ruang kafe itu bagi membolehkan pengunjung membeli juadah berbuka puasa.
“Operasi kita akan diteruskan selepas solat Tarawih supaya pengunjung dapat tetap menjamu selera dan lepak di sini,” katanya lagi. – UTUSAN










