PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disaran mengkaji semula mekanisme kutipan bayaran balik dan meningkatkan pemantauan pengurusan pinjaman bagi memastikan kelangsungan organisasi tersebut.
Jumlah tunggakan bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN mencecah RM10.853 bilion melibatkan 1.20 juta peminjam setakat 31 Disember 2023.
Antara syor pihak audit adalah mengkaji semula mekanisme kutipan agar lebih efektif serta menetapkan sasaran kutipan berdasarkan tempoh tunggakan, bagi mengurangkan kebergantungan PTPTN terhadap pinjaman daripada institusi kewangan tempatan.
Selain itu, Audit turut mencadangkan PTPTN menilai semula insentif diskaun bayaran balik pinjaman dan pengecualian 100 peratus bayaran balik kepada peminjam yang menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf, bagi peminjam yang layak.
Dalam usaha meningkatkan pematuhan, PTPTN disaran melaksanakan tindakan penguatkuasaan seperti pengeluaran surat peringatan, notis tuntutan, saman serta penghakiman, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 5 Julai 2024.
PTPTN mempunyai tunggakan berjumlah RM10.853 bilion manakala bayaran balik yang diterima RM3.553 bilion.
Trend bayaran balik berbanding tunggakan pula berada dalam julat antara 7.3 peratus hingga 79.3 peratus.
Kerajaan telah menanggung kos dana pinjaman atau sukuk sebanyak RM8.359 bilion dari 2019 hingga 2023, selain membayar RM1.268 bilion kepada PTPTN bagi insentif diskaun dan pengecualian bayaran balik dalam tempoh yang sama.
Pengumuman ini diharap dapat membantu meningkatkan keberkesanan pengurusan pinjaman pendidikan serta memastikan kesinambungan dana pendidikan untuk generasi akan datang.
PTPTN terus mempergiat usaha dalam mengutip bayaran balik pinjaman pendidikan dengan melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas serta kempen pembayaran yang menyeluruh.
Pada 11 November 2024, sebanyak 25,257 peminjam telah menerima Surat Peringatan Tindakan Penguatkuasaan manakala Notis Tuntutan (NOD) pula mula dihantar pada 26 November 2024, melibatkan 3,580 peminjam.
Sebagai langkah terakhir, tindakan saman dan penghakiman turut dirancang ebagai langkah tambahan selain e-mel makluman awal mengenai sekatan perjalanan ke luar negara telah dihantar pada 16 Disember 2024 kepada 10,388 peminjam yang masih mempunyai tunggakan. – UTUSAN










