Belon udara panas memukau pengunjung Pesta Angin Timur

Belon udara panas memukau pengunjung Pesta Angin Timur

BELON udara panas menghiasi udara di pekarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Aktiviti belon udara panas bersempena Pesta Angin Timur (PAT) 2025 yang menghiasi udara di pekarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam memukau ribuan pengunjung yang hadir.

Para pengunjung turut berpeluang merasai pengalaman menaiki belon udara panas itu sekali gus menikmati panorama indah dari udara dengan bayaran serendah RM50 bagi dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak.

Selepas PAT kali ini agak sedikit terjejas berikutan lokasi penganjuran di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang di sini diselimuti lumpur tebal berikutan hujan lebat, namun pelbagai aktiviti khususnya acara belon udara panas yang diteruskan tetap menarik perhatian ramai.

Sebanyak empat belon udara panas pelbagai warna dan corak menghiasi ruang udara dengan cahaya indah menerangi Kompleks DUN atau juga dikenali ‘mini Putrajaya’ itu.

Seorang pengunjung, Fazliana Ismail, 35, berkata, dia tidak melepaskan peluang membawa anak-anak merasai pengalaman pertama menaiki belon udara panas.

Katanya, aktiviti belon udara panas dilihat antara penyelamat Pesta Angin Timur kali ini apabila menjadi antara acara mendapat sambutan hebat meskipun berubah lokasi.

Ujarnya, melihat kepada sambutan yang memberasangkan itu, acara belon udara panas itu wajar dijadikan sebagai satu festival setiap tahun memandangkan Perlis merupakan lokasi sesuai dengan keindahan alam semula jadi.

“Walaupun tidak terlalu tinggi di udara namun pengunjung dapat menikmati pengalaman berharga menaiki belon udara panas yang sebelum ini jarang ada di Perlis.

“Tahun lalu, aktiviti belon udara panas ini dimasukkan dalam aktiviti Pesta Angin Timur dan diharap ia akan berterusan di tahun-tahun mendatang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, PAT Perlis yang telah berlangsung selama belasan tahun kini berdepan keperluan untuk diberi penjenamaan semula atau nafas baharu, agar ia lebih bertaraf antarabangsa.

Sebagai acara ikonik negeri ini yang setiap tahun berjaya menarik ratusan ribu pengunjung, sudah tiba masanya PAT melalui pembaharuan, baik daripada segi pengisian aktiviti mahupun pemilihan lokasi lebih sesuai.

Seorang lagi pengunjung, Ismail Rashid, 42, berkata, dia tidak sempat menaiki belon udara panas namun peluang menyaksikannya sudah cukup memberi kepuasan dalam pesta berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN