PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan pendedahan beliau mengenai campur tangan menteri dalam kawal selia Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dua kali dimaklumkan kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara.
Bagaimanapun, bekas Ketua Polis Negara itu memberitahu Utusan Malaysia, tiada sebarang tindakan dilakukan berhubung aduan tersebut.
“Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) mengkritik tindakan saya kerana mendedahkan campur tangan politik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam urusan kawal selia PDRM sebagai tidak bertanggungjawab.
“Sudah saya jelaskan bagaimana aduan telah saya buat kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak dua kali tentang hal ini. Adakah para ulamak politik ini tidak faham tentang penjelasan itu,” kata beliau semalam.
Dalam pada itu, Abdul Hamid turut menyelar kenyataan DUPP, apa gunanya ilmu agama tinggi melangit tetapi takut untuk berterus terang dan tidak berusaha untuk mengatasinya.
“Guru agama saya dulu, Ustaz Rahmat dari Sekolah Menengah Sulaiman, Bentong jauh lebih mulia hatinya daripada ulamak-ulamak politik ini yang memang pakar dalam ilmu petik-memetik al-Quran namun mereka kurang pandai ialah memetik buah sawit,” jelasnya.
Kelmarin, DUPP dalam kenyataan berkata, sikap Hamid hanya membawa cerminan buruk dengan hanya dakwaan semata-mata.
Jika benar dakwaan tersebut, DUPP mempersoalkan kenapa tidak diambil tindakan susulan semasa beliau masih menjawat Ketua Polis Negara dengan membuat laporan agar penyiasatan dilakukan dan dibawa ke muka pengadilan.
Mengulas lanjut, Hamid berkata, luahannya pada Jumaat lalu adalah bagi menyuarakan kebimbangan perihal penyelewengan dan rasuah yang sedang berleluasa.
Selain itu, beliau juga berpendapat, menteri tidak sepatutnya campur tangan dalam pengurusan polis. – UTUSAN











