Jangan layan isu remeh – Anwar

Jangan layan isu remeh – Anwar

ANWAR Ibrahim melakukan gimik perasmian Alamanda Berwajah Baharu di pusat beli belah itu di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar sentiasa berusaha mengangkat martabat negara dan tidak melayan sebarang perkara yang boleh melemahkan pemikiran.

Perdana Menteri berkata, negara-negara maju seperti China, Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah berlumba-lumba mengangkat keupayaan teknologi, kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan tenaga boleh baharu.

Beliau berkata, menjadi kerugian buat negara apabila masyarakatnya masih bertelingkah dan bertikam lidah dalam perkara-perkara meremehkan.

“Kalau tidak kita riuh-rendah dalam soal-soal titik bengit dan bergaduh. Kalau dengar kadang-kadang sebahagian ceramah dan tazkirah itu mengutuk orang. Tidak semua perkara kita boleh bersetuju.

“(Perkara) ke arah kebaikan kita setuju, amalan-amalan asas kita setuju, tetapi dalam beberapa pendekatan ada perbedaannya dan perlu ada toleransi, tasamuh serta hikmah menyantuni,” katanya di Majlis Perasmian Alamanda berwajah baharu di sini, semalam.

Dalam pada itu, Anwar juga memberi peringatan kepada semua pemimpin agar fokus membantu rakyat dan bukan sibuk mencari kekayaan demi kesenangan sendiri.

Jelasnya, setiap pemimpin di jabatan kerajaan perlu menumpukan aspek kecekapan dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

“Bila ada keterlanjuran menggunakan kuasa sampai kaya beratus-ratus juta, simpan dalam dan luar negara, bila kita hendak ambil tindakan tidak boleh.

“Kita jangan dendam, jadi negara rosak. Sebab itu, kita perlu tegas, anak-anak muda terutamanya perlu ingat ambil sikap tegas kerana kita hendak menghentikan amalan ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar berbangga apabila Malaysia sentiasa menerima kunjungan pemimpin besar dunia dan menjadi tarikan pelabur asing.

Katanya, faktor itu didorong oleh kesungguhan dan komitmen negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik dan kemasukan pelaburan yang tinggi.

“Kita sekarang mencatatkan pertumbuhan yang baik, pelaburan yang tinggi, AI menjadi pusat data dan hab semikonduktor.

“Dalam sebulan dua ini, banyak pemimpin besar akan datang termasuk Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Afrika Selatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×