BERITA kematian pelakon Kim Sae-ron minggu lalu, mengejutkan peminat K-Drama di seluruh dunia.
Pelakon muda yang berbakat besar itu mula menyerlah sejak kanak-kanak, melalui pelbagai peranan penting dalam drama dan filem Korea termasuk The Man from Nowhere.
Pernah menjadi antara bintang paling bersinar dalam industri filem dan televisyen Korea Selatan, wanita berusia 24 tahun itu ditemukan mati oleh rakan di kediamannya di Seongsu-dong, timur Seoul, Ahad lalu.
Difahamkan, Sae-ron dan rakannya merancang bertemu, namun beliau gagal menghubungi aktres itu sebelum memutuskan menelefon pihak polis.
Hasil siasatan dilakukan akhirnya mengklasifikasikan punca kematian pelakon tersebut sebagai bunuh diri, meskipun Sae-ron tidak meninggalkan sebarang nota sebelum mayatnya ditemukan.
Ramai peminat percaya tindakan itu mempunyai kaitan dengan ‘tempoh sukar’ yang dihadapi Sae-ron, selepas kariernya merosot ekoran terpalit kontroversi.
Pada 2022, beliau pernah mencetuskan kontroversi apabila ditangkap kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kerosakan harta benda awam di Gangnam, Seoul.
Kariernya mula merosot sejak April 2023, selepas mahkamah di Seoul mendapati Sae-ron bersalah kerana memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar besi penghadang jalan serta sebuah transformer.
Walaupun terlepas hukuman penjara, beliau dikenakan denda sebanyak 20 juta won (RM54,000).
Kenalan Sae-ron memberitahu, pelakon itu sempat menukar nama kepada Kim Ah-im untuk kembali aktif selepas dirinya terkait cancel culture dalam kes kemalangan tiga tahun lalu.
Beliau juga baharu menyelesaikan penggambaran filem berjudul Guitar Man dan bercadang untuk kembali mengaktifkan diri dalam karier seni.
Sae-ron juga didakwa mengalami kemurungan dan bergelut dengan krisis kewangan yang teruk, selain tertekan sikap peminat yang masih melabelkan dirinya negatif kerana kes kemalangan itu.
TERIKAT STANDARD AWAM
Industri hiburan Korea Selatan menyaksikan sejumlah kematian mengejut dalam kalangan selebriti muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di mana ramai meninggal dunia akibat bunuh diri.
Kematian Sae-ron membuka satu lagi lembaran yang menyaksikan selebriti menjadi korban akibat tekanan dahsyat dunia glamor.
Sae-ron kini menyertai senarai bintang Korea yang kehilangan nyawa pada usia muda dalam keadaan tragis.
Moonbin, Sulli, Jonghyun dan Goo Hara hanyalah sebahagian daripada nama yang dikaitkan dengan tekanan dahsyat dunia kemasyhuran.
Kes bunuh diri kini bukan lagi menjadi kejadian terpencil, sebaliknya mencerminkan masalah sistematik yang menjadi toksik dalam industri hiburan di Korea.
Di Korea Selatan, selebriti bukan sekadar penghibur, malah mereka diharapkan untuk mewakili standard tingkah laku, penampilan dan perwatakan ideal serta hampir mustahil untuk dicapai.
Idola K-pop dan pelakon mesti mengekalkan imej sempurna di mata umum pada setiap masa.
Harapan itu berpunca daripada pengaruh besar yang dimiliki oleh selebriti dalam masyarakat Korea.
Tuntutan masyarakat terhadap imej ‘sempurna’ itu berakar daripada tanggapan bahawa idola bukan sekadar penghibur, tetapi juga model teladan kepada generasi muda.
Konsep budaya ‘idola’ di Korea sangat menekankan kesempurnaan, selebriti dituntut mengekalkan disiplin ketat dalam kehidupan peribadi dan profesional.
Selebriti sering berada di bawah tekanan hebat untuk mengekalkan imej bersih demi memastikan kejayaan dan kekal relevan dalam industri hiburan yang semakin kompetitif sehingga menyumbang kepada krisis kesihatan mental.
Kes bunuh diri dalam kalangan selebriti Korea sering berpunca daripada penelitian melampau oleh peminat, buli siber, masalah kesihatan mental dan tekanan berterusan untuk memenuhi jangkaan sosial.-UTUSAN









