“KEHIDUPAN sebagai jurulatih sangat mencabar berbanding ketika bergelar atlet silat, suatu ketika dahulu.
“Lebih-lebih lagi sebab saya ada ‘penyakit’ yang mahukan semua 20 anak didik jadi juara dunia.”
Ringkas jawapan Siti Rahmah Mohamed Nasir, 38, lantas diselangi dengan tawanya ketika temu bual Seri baru-baru ini.
Sepanjang tiga tahun menggalas jawatan itu, bekas srikandi silat negara ini berjaya menggilap skuad kebangsaan.
Sentuhan berbisanya dengan rakan sejawatan lain membolehkan empat anak didik muncul juara dalam pelbagai pertandingan di samping meraih deretan pingat perak dan gangsa.
Anak kepada bekas legenda bola sepak Terengganu, negara dan skuad kebangsaan Singapura, Allahyarham Mohamed Nasir Jalil ini berkata, misinya bukan sekadar untuk mencurahkan ilmu.
Bahkan, beliau mempunyai perancangan lebih besar iaitu mahu mengubah budaya ‘lapuk’ dalam skuad negara.
Ia merangkumi cara pemikiran, latihan dan pendekatan yang diambil kepada atlet-atlet.
Katanya, perubahan itu kelak bakal memudahkan laluan negara untuk menundukkan pesaing rapat, Indonesia dan Vietnam dalam kejohanan dunia sekali gus muncul juara keseluruhan.
“Bila tengok anak-anak didik, saya terbayang diri sendiri sebab itu saya pilih bersikap garang dengan mereka.
“Saya mahu mereka tahu tujuan berada dalam skuad negara dan jangan sesekali sia-siakan peluang yang ada di depan mata.
“Langkah itu penting supaya atlet-atlet tidak buat kesilapan dan dapat jadi lebih baik daripada ‘Siti Rahmah’ daripada segi teknik, taktik silat, didikan agama serta intelektual,” kata juara dunia empat kali berturut-turut ini.
Rekodnya dilakar dari 2012 dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia di Chiangrai, Thailand disusuli pada 2014, 2016 dan 2018.
Terdahulu, kata Siti Rahmah, sukan silat menawarkan banyak kelebihan kerana membentuk disiplin, tanggungjawab, fokus di samping meningkatkan kerohanian.
Ketika ditanya sampai bila akan terus berkhidmat sebagai jurulatih, ujar wanita ini, sampai masanya beliau akan berundur.
Selepas itu, tumpuannya adalah kepada diri sendiri di samping merancang untuk terlibat dalam dunia keusahawanan.
Jiwa pejuang
Penglibatannya dalam silat bermula tanpa disangka setelah meninggalkan bidang taekwondo pada 2008.
Beliau tertarik dengan seni bela diri ini kerana keunikan gerakan dan tekniknya seperti guntingan, sapuan dan tumbuk.
“Walaupun, ayah bintang bola sepak tetapi kami enam beradik tidak pernah didedahkan dengan sebarang jenis sukan sejak kecil.
“Saya mula meminati seni bela diri selepas mendengar cerita kakak mengenai kawannya dan memberanikan diri untuk belajar sejurus tamat tingkatan lima,” katanya.
Ujarnya, tiada istilah lewat untuk seseorang terlibat dalam apa jua bidang asalkan mempunyai minat dan keikhlasan tinggi.
Walaupun menjulang kemenangan tanpa henti, namun kata Siti Rahmah, perjalanannya sepanjang 15 tahun dalam silat tidak semudah disangka.
Seperti atlet lain, beliau pernah berdepan dengan kecederaan di samping fasa motivasi dan prestasi yang merosot.
“Pernah satu ketika emosi saya jatuh merudum selepas tewas beberapa kali dalam pertandingan.
“Macam-macam cara dilakukan tetapi semuanya tidak menjadi seolah-olah seperti budak baharu yang ‘kosong’, namun disebabkan jiwa ‘pejuang’ yang tinggi, saya berusaha juga untuk bangkit hingga dapat kembali muncul juara,” katanya mengimbau kenangan lalu.
Siti Rahmah turut berterima kasih kepada Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang banyak menyuntik semangat pada dirinya selama ini.

Menangis setiap kali kejohanan
Di sebalik gelaran juara dunia sebanyak empat kali berturut-turut, Siti Rahmah berkongsi rahsianya yang sering menangis sebelum melangkah ke gelanggang pertandingan.
Ia disebabkan oleh rasa takut jika gagal mencipta kejayaan dan mengharumkan nama negara sebagaimana yang disasarkan.
“Orang mungkin melihat saya sebagai atlet berani dan kuat tetapi sebenarnya saya seorang yang penakut.
“Perasaan itu datang secara semula jadi apabila rombongan pasukan bertolak ke lokasi acara, namun, ia makin memuncak menjelang 30 minit sebelum pertandingan.
“Lantas menyebabkan air mata mengalir deras sejurus selepas selesai berdoa kepada Allah agar dimudahkan segala urusan serta peroleh kemenangan,” katanya.
Kata wanita tinggi lampai ini, ‘rutin’ menangis itu biasanya dilakukan di dalam tandas atau di tepi-tepi dinding, jauh daripada pandangan orang ramai.
Kemudian barulah dirinya berasa lega dan masuk ke gelanggang dengan aura berbeza, tanpa sedikitpun terbawa-bawa dek rasa takut itu.
Di dalam gelanggang, misinya hanya satu iaitu kemenangan sebagaimana amanat yang dititipkan bonda tersayang, Sharifah Aishah Syed Hussain Albar, 66.
“Emak sentiasa doakan saya menang dan mungkin berkat daripada doanya saya dapat berada di kedudukan sekarang.
“Sebab itu saya kejar kemenangan, bukan kerana habuan wang ringgit atau gelaran tetapi kerana tidak mahu menghampakan harapan emak,” kata anak kelahiran Kuala Terengganu ini.
Peminat tegar Bollywood
Menyelami sisi dirinya yang tidak diketahui ramai, Siti Rahmah sebenarnya merupakan peminat tegar Bollywood sejak kecil.
Filem-filem itu boleh ditonton secara berulang kali tanpa rasa jemu atau bosan.
Malah, lagu-lagu Bollywood turut menjadi halwa telinga dan siulan wanita ini sepanjang masa.
Antara bintang pujaannya ialah Shah Rukh Khan, Kajol dan Deepika Padukone.
“Hero paling diminati tentulah Shah Rukh Khan dan saya tidak pernah terlepas setiap filem baharu lakonannya.
“Tipulah kalau saya tidak menangis apabila menonton filem Bollywood yang dulu-dulu, kerana semuanya menyentuh emosi.
“Percaya atau tidak, lagu-lagunya seolah-olah ada magis yang dapat menghilangkan rasa mengantuk ketika memandu pulang ke Terengganu,” katanya tertawa.
Disebabkan minat yang mendalam itu juga, Siti Rahmah mampu memahami bahasa berkenaan tanpa melihat terjemahan.
Selain Bollywood, beliau turut menggemari filem-filem Tamil yang penuh dengan aksi dan pertarungan.
Baginya, banyak nilai-nilai murni yang boleh diserap daripada karya seni itu ke dalam kehidupan dan kerjaya.
Antaranya semangat juang tinggi hero yang tidak putus asa dan tetap bangkit melawan musuh di hujung jalan cerita.-UTUSAN










