PUTRAJAYA: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersaiz sederhana mampu menghasilkan tambahan nilai RM8.5 juta berbanding hanya RM900,000 untuk PKS bersaiz kecil dan RM200,000 bagi perusahaan mikro.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha untuk menaik taraf saiz perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dibuat melalui strategi penskalaan yang bakal menjadi tumpuan utama pembangunan sektor itu bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
“Saya telah meneliti empat inisiatif utama Strategi Penskalaan PKS dalam tempoh RMKe-13 yang dibentangkan SME Corp. Malaysia mengenal pasti sekurang-kurangnya 500 firma yang boleh menyertai program bersasar penskalaan dengan 30 peratus daripadanya bertaraf bumiputera.
“Ia termasuk memperkukuh program dan dasar pembangunan PKS sedia ada bagi menyokong inisiatif penskalaan selain Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan SME Corp. Malaysia terlibat secara aktif dalam rundingan kerjasama berkaitan perjanjian dan pakatan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Mesyuarat Sekretariat MPUPK turut mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK).
Kata Ahmad Zahid, inisiatif itu melibatkan kerjasama agensi berkaitan dengan pensijilan halal bagi membantu PKS mengatasi permasalahan dihadapi.
“KUSKOP turut berkongsi mengenai hala tuju pembangunan industri francais melalui Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030).
“DFN 2030 bertujuan mempertingkat kapasiti serta keupayaan usahawan francais dan meningkatkan sumbangan industri francais kepada ekonomi negara seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab francais serantau,” katanya.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) turut berkongsi berkenaan ekosistem pembiayaan alternatif terdiri daripada pendanaan awam ekuiti (ECF), pembiayaan peer-to-peer (P2P), modal teroka (VC) dan ekuiti awam yang merangkumi 58 peratus daripada sumber pengumpulan dana dalam pasaran modal tahun 2024.
“SC turut memaklumkan berkenaan pelan hala tuju meningkatkan pengumpulan dana pasaran modal kepada RM40 bilion pada tahun 2028 bagi menyokong 28,000 PMKS dan Syarikat Mid-Tier,” katanya. – UTUSAN











