Bangunkan bakat penjawat awam menerusi konsep bimbingan

Bangunkan bakat yang ada dalam penjawat awam menerusi konsep bimbingan

KONSEP bimbingan akan membuka ruang yang luas dalam membudayakan kerja secara lebih terbuka, kolaboratif dan berorientasikan penyelesaian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menguruskan bakat bukanlah perkara yang mudah jika tidak diuruskan secara komprehensif dan holistik. Pembangunan bakat melalui satu ekosistem sumber manusia iaitu bermula dari pemilihan, pelantikan, penempatan, kenaikan pangkat, latihan dan pembangunan, pelan penggantian dan prestasi serta persaraan. Ekosistem ini yang akan menggambarkan pengurusan bakat dan sejauh mana bakat ini dirancang dan tersedia.

Dalam memperkasakan bakat penjawat awam, baru-baru ini semasa Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2025, satu inisiatif untuk mengangkat konsep coaching atau pandu citra telah diperkenalkan. Coaching adalah satu proses membimbing pegawai awam dalam meneroka dan meningkatkan potensi diri.

Konsep bimbingan (coaching) ini sebenarnya bermula sebaik sahaja kita memasuki sesuatu organisasi atau pun boarding sebelum penempatan. Ia bertujuan untuk memberi bimbingan awal kepada staf yang baharu melaporkan diri dalam orientasi organisasi. Selain itu, coaching juga digunakan untuk membimbing sesama staf menerusi konsep mentor mentee; dalam meneroka potensi diri dan juga turut digunakan dalam proses penyediaan bakat kepimpinan institusi melalui penilaian kompetensi.

Coaching dan mentoring adalah dua pendekatan yang berbeza. Coaching adalah tentang memberi kuasa, motivasi secara individu kepada seseorang dalam memastikan ia dapat memberikan komitmen sepenuhnya untuk pembangunan diri dan organisasi. Manakala mentoring adalah seseorang yang pakar atau berpengalaman dalam menerangkan atau menjadi model dan berkongsi dengan seseorang. Walaubagaimanapun kedua-duanya ditakrifkan sebagai satu proses dua hala yang melibatkan pembinaan hubungan yang baik berasaskan kepercayaan.

Jelas sekali iltizam pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam mempertingkatkan konsep coaching atau bimbingan ini mestilah berstruktur melalui pementoran, kaunseling dan konsultansi. Konsep ini akan membuka ruang yang luas dalam membudayakan kerja secara lebih terbuka, kolaboratif dan berorientasikan penyelesaian.

Ironinya, konsep coaching ini memerlukan pengurusan sumber manusia membangunkan potensi diri setiap pegawai awam dalam melahirkan pegawai yang kompetitif sekaligus menggalakkan kepimpinan transformasional. Ia juga dilihat sebagai pelengkap kepada penyelesaian, peningkatan prestasi kerja, motivasi dan kepuasaan kerja dalam mencapai matmalat kerja. – UTUSAN

RAJA SHAH ERMAN RAJA ARIFIN
Timbalan Pendaftar Bahagian Sumber Manusia Universiti Malaysia Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×