Nikmati burger dalam bas

Nikmati burger dalam bas

SUZIYANA menunjukkan hidangan burger yang menjadi tarikan pengunjung setiap kali datang ke The Bus Nusuk Cafe di Kuala Nerus, Terengganu. – mingguan/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENIKMATI pelbagai hidangan Barat seperti burger dalam sebuah bas yang diubah suai akan menjadi memori manis untuk setiap pengunjung yang datang ke The Bus Nusuk Cafe di Gong Badak dekat Kuala Nerus di Terengganu.

Pemiliknya, Suziyana Yusof, 45 dan suami, Ahmad Rizal Abd Wahab, 45, memulakan perniagaan kafe di bas itu sejak November tahun lalu sebagai satu pilihan alternatif tempat makan yang istimewa buat peminat kopi dan hidangan makanan Barat berasaskan burger.

Suziyana berkata, bas tersebut adalah milik alumni pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) yang digunakan pada tahun 1970-an.

Menurutnya, alumni persatuan pelajar telah mewakafkan bas tersebut kepada Masjid Wakaf Tembesu untuk menjana sumber ekonomi masjid melalui perniagaan The Bus Nusuk Cafe yang dijalankan mereka berdua.

“Ramai yang teruja datang ke sini untuk menikmati suasana santai bersama sahabat dan keluarga mereka kerana kafe ini adalah yang pertama seumpamanya di daerah Kuala Nerus.

“Kebanyakan mereka mengakui sangat seronok berada di sini kerana lebih privasi untuk meluangkan masa bersama yang tersayang.

“Tarikan utama kami adalah burger daging wagyu serta pelbagai kopi serta minuman lain yang sesuai untuk semua lapisan umur,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Ketika ini, The Bus Nusuk Cafe beroperasi setiap hari kecuali Rabu, bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang.

Suziyana berkata, terdapat 20 menu hidangan Barat disediakan termasuk kentang goreng, nuget dan aneka burger serendah RM10 hingga RM35.

“Ramai yang datang ke sini akan mengambil gambar dan video untuk dimuatnaik ke akaun media sosial masing-masing kerana keunikan kafe di dalam bas.

“Alhamdulillah, hasil promosi mulut ke mulut setiap pelanggan dan kandungan video yang mereka hasilkan banyak membantu meningkatkan kedatangan jumlah pengunjung ke sini,” katanya yang turut memiliki dua lagi kafeteria di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Bas tersebut mampu menampung antara 13 hingga 15 pengunjung pada satu-satu masa namun, mereka juga boleh menikmati hidangan di tempat duduk yang disediakan di pekarangan masjid tersebut sekiranya tempat duduk di dalam bas penuh.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia dan suami hanya menghabiskan modal permulaan yang kecil untuk memasang penghawa dingin dan menambah lampu untuk sistem pencahayaan yang lebih baik di dalam bas.

“Buat masa ini, The Bus Nusuk Cafe beroperasi dengan dua pekerja sahaja yang bertugas di bahagian dapur namun kami bercadang mahu menambah bilangan pekerja kerana mahu melanjutkan waktu operasi hingga malam.

“Ramai pengunjung meluahkan rasa seronok dan selesa kerana dapat menikmati pelbagai hidangan tanpa risau memikirkan masalah parkir seperti mana restoran atau kafeteria yang lain.

“Terletak dalam masjid, ia juga satu bonus untuk pengunjung menunaikan solat atau mengikuti ceramah agama sambil menempah menu dari kafe bas ini,” katanya.

Ditanya perancangan masa depan pula, Suziyana berkata, dia akan memperkenalkan kad kesetiaan pelanggan untuk semua alumni atau pelajar SESMA sebagai tanda penghargaan buat sekolah tersebut.

“Kami juga akan menambah menu untuk memenuhi cita rasa pelanggan pada masa akan datang,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×