PADA November 2020, tepat pukul 8.25 malam, Caroline Darian, 45, menerima panggilan telefon yang mengubah hidupnya dalam sekelip mata.
Di hujung talian, suara ibunya, Gisele Pelicot, memberitahu satu ‘rahsia’ yang tidak pernah dibayangkannya akan berlaku.
“Dia memberitahu saya, (bapa) Dominique Pelicot memberi dadah selama hampir 10 tahun, dan membiarkan puluhan lelaki merogolnya.
“Pada saat itu, dunia saya seolah gelap. Saya hanya menjerit, menangis dan mengutuk dia (bapa). Ia seperti gempa bumi dan tsunami,” kata Caroline dalam temu bual bersama Emma Barnett di program Today di BBC Radio 4.
Pesara berusia 72 tahun itu dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dalam perbicaraan bersejarah yang berlangsung selama lebih tiga bulan pada Disember lalu.
Semua 50 lelaki yang direkrut secara dalam talian oleh Dominique untuk merogol dan melakukan serangan seksual terhadap Gisele, turut dijatuhkan hukuman penjara.
Sabitan itu sekali gus menamatkan perbicaraan rogol terbesar di Perancis, yang turut menggemparkan dunia.
Komputer riba dan telefon Dominique mendedahkan beribu-ribu video serta gambar isterinya yang tidak sedarkan diri dan dirogol oleh individu tidak dikenali.
Caroline percaya dirinya juga turut menjadi mangsa penderaan seksual dan rogol oleh bapanya, walaupun Dominique sentiasa menafikan tuduhan itu.
“Saya tahu dia juga memberi dadah kepada saya, mungkin untuk melakukan penderaan seksual. Tetapi saya tiada bukti seperti kes ibu,” katanya.
TIADA LAGI SOSOK AYAH
Tidak lama selepas jenayah bapanya terbongkar, Caroline menulis buku bertajuk I’ll Never Call Him Dad Again, yang merungkai trauma keluarganya dan mendalami isu serangan seksual melibatkan dadah.
Di sebalik trauma mengetahui dirinya dirogol lebih 200 kali oleh ramai lelaki, menurut Caroline, ibunya pada awal sukar menerima kemungkinan Dominique turut melakukan perbuatan sama terhadap anak mereka.
“Itulah naluri seorang ibu, pastinya sukar untuk beliau menerima anaknya turut dilakukan perkara sama,” katanya.
Namun, beliau mengagumi keberanian ibunya yang tidak malu membuka perbicaraan kepada umum dan media demi mendedahkan kekejaman suami serta puluhan lelaki lain.
“Saya tahu kami perlu melalui sesuatu yang mengerikan, tetapi kita menghadapinya dengan bermaruah dan kuat,” katanya.
Gisele, 72, digelar sebagai ikon feminis global selepas mengetepikan haknya untuk tidak menyiarkan nama sebenar sebagai mangsa serangan seksual, demi menuntut agar rasa malu beralih kepada perogol.
Kini, Caroline memikul beban yang amat berat untuk hidup sebagai seorang anak kepada perogol dan mangsa.
Beliau tidak lagi mahu mengenang zaman kanak-kanak bersama lelaki yang kini hanya dipanggil Dominique, walaupun kadang-kadang masih terbiasa merujuknya sebagai bapa.
“Apabila saya melihat ke belakang, saya tidak begitu ingat sosok bapa yang saya sangkakan dia dahulu. Saya hanya melihatnya seorang penjenayah seksual.
“Tetapi, saya masih memiliki DNAnya dan sebab utama saya memperjuangkan hak mangsa lain adalah sebagai cara untuk mewujudkan jurang antara saya dan lelaki itu,” katanya.
Caroline tidak pasti sama ada bapanya adalah ‘raksasa’ seperti yang digambarkan orang ramai, tetapi baginya, dia tetap seorang penjenayah seksual yang tidak boleh dimaafkan.
“Bapa saya patut mati dalam penjara,” tegas Caroline.
ENGGAN TOLEH BELAKANG
Berkongsi perkembangan ibunya kini, Caroline berkata, Gisele sedang pulih daripada trauma selepas perbicaraan berakhir dan mula membina kembali kehidupan.
Bukan hanya ibunya, Caroline juga enggan menoleh ke belakang atau mengenang kembali mimpi buruk yang menghantui diri dan keluarganya.
Bagi Caroline, keutamaannya kini adalah meningkatkan kesedaran serta mendidik wanita mengenai serangan seksual melalui bahan kimia dan dadah.
Beliau menjadikan perjuangan menentang jenayah seksual dan penyerahan bahan kimia sebagai misi hidup, memandangkan jenayah itu tidak banyak dilaporkan oleh mangsa.
Ini kerana, ramai dalam kalangan mangsa yang tidak ingat kejadian tersebut atau mungkin tidak sedar akibat diberikan dadah dan bius.
“Peristiwa yang berlaku pada November, membentuk siapa diri saya hari ini. Kini, saya berusaha untuk terus melangkah ke hadapan.
“Kekuatan saya hanyalah suami, adik-beradik dan anak lelaki yang berusia 10 tahun,” katanya.-UTUSAN









