Boros belanja Aidilfitri, petanda sakit mental - Utusan Malaysia

Boros belanja Aidilfitri, petanda sakit mental

Wanita perlu mengawal tabiat berbelanja dalam talian tanpa had untuk mengelakkan beban hutang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjelang musim perayaan, kita sangat sinonim dengan ungkapan seperti ‘apa salahnya berbelanja lebih, Rayakan sebulan dan hanya setahun sekali.

Malah ada dalam kalangan pengguna menggunakan kesempatan ini untuk berlumba-lumba dengan rakan dan jiran bagi mempamerkan koleksi terbaru raya mereka.

Sekiranya jawapan anda benar, ia berkemungkinan petanda anda berdepan masalah mental.

Kaunselor Berdaftar Penyelaras Pusat Kaunseling Selangor, Rinatho Nunchi berkata, ketagihan membeli-belah dikategorikan sebagai salah satu masalah kesihatan mental (jika berlebihan daripada biasa) dan ia dinamakan sebagai Buying-Shopping Disorder (BDS).

RINATHO NUNCHI

Katanya berdasarkan kajian dilakukan pakar antaranya Dr. Astrid Muller, kajian mendedahkan individu dengan simptom kerisauan (anxiety) dan tekanan (depression) cenderung untuk mengalami masalah BSD, jika tidak dikawal dengan lebih awal dan berkesan.

“BSD merupakan salah satu gangguan kawalan impuls yang boleh menyebabkan masalah kesihatan mental yang serius jika tidak ditangani dengan berkesan.

“Sudah tentu apabila perlakuan ini tidak dikawal, ia akan mendatangkan masalah dalam kehidupan harian individu. Malah ia mungkin akan mencetuskan masalah perhubungan dengan individu terdekat dengannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketagihan berbelanja di luar kemampuan memberikan impak lebih teruk khususnya berkaitan dengan pengurusan kewangan.

Ia turut mendedahkan risiko kemurungan lantaran pengurusan kewangan yang tidak teratur, dengan kata lain kehabisan wang.

Rinatho berkata kemurungan itulah sebenarnya risiko yang boleh membawa kepada BSD seperti mana kajian yang dilakukan oleh Dr Astrid Muller dan rakan-rakannya.

DAPATKAN RAWATAN

Individu ada tanda BSD ini perlu mendapatkan khidmat daripada pakar bagi tujuan pengesahan dan rawatan susulan jika perlu.

Lebih daripada itu, kata Rinatho sebagai umat Islam, agama sememangnya telah mengajar umatnya untuk wasatiah atau bersederhana dalam segala aspek kehidupan.

Ia termasuklah juga daripada segi berbelanja lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan dan Aidilfitri bakal menjelang.

Rinatho menegaskan pengurusan perbelanjaan perlu mengambil kira kemampuan sebagaimana dituntut dalam agama.

“Setiap daripada kita perlu membuat senarai semak bagi tujuan kawalan perbelanjaan sama ada secara fizikal ataupun secara atas talian,” ujarnya.

SEDERHANA SAMBUT AIDILFITRI

Pengguna harus segar musim perayaan merupakan musim kebanyakan kedai dan pusat membeli belah membuat keuntungan berlipat kali ganda.

Apabila terdapat banyak permintaan ke atas sesuatu barangan atau perkhidmatan, penawaran menjadi kurang, sekaligus memberi implikasi harga meningkat yang mana pada peringkat akhirnya pengguna terpaksa mengeluarkan bajet lebih.

Bagi Faeizaratul Fareiza Isa, 40, persiapan kali ini biasa sahaja, tambahan pula kali pertama berpuasa tanpa anak sulung kerana masuk asrama.

“Saya memang melatih anak-anak saya bersederhana apabila berbuka puasa kerana tidak mahu membazir. Jadi persiapan memang biasa-biasa sahaja, yang penting mereka tahu dan faham konsep bulan mulia itu sebenarnya,” katanya.

Faeizaratul Fareiza berbelanja sederhana setiap kali musim perayaan. UTUSAN/RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

Tambah Faeizaratul, dia lebih suka ke pusat beli-belah berbanding beli secara dalam talian kerana lebih puas, barangan depan mata.

Begitupun, kehadiran Covid-19, menyebabkan dia terpaksa membeli dalam talian, tetapi tidak boleh rambang mata.

“Membeli boleh tetapi perlu ada batas. Ketagihan berbelanja sangat bahaya. Jangan ikut nafsu sangat kerana takut nanti makan diri, contohnya terpaksa berhutang.

“Kena ada batas setiap kali berbelanja. Ketagih ini menghampiri kepada sikap boros jadi elakkan, belajar kawal nafsu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk membeli ikut keperluan, bukannya kehendak.

“Kita perlu tahu membezakan antara keperluan dan kehendak. Kawal hati dan minda. Berbelanjalah ikut kemampuan dan jauhi daripada sifat tamak atau boros dalam berbelanja. Ia seperti pepatah Melayu, ukurlah baju di badan sendiri,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×