MELIHAT kepada fizikalnya, pasti tidak menyangka wanita bertubuh kecil ini ‘jaguh’ dalam memanjat dinding atau wall climbing.
Apatah lagi, sukan tersebut menuntut kekuatan dan keberanian untuk berada di kedudukan yang tinggi.
Nadira Rusli, 33, bukan hanya tangkas memanjat seperti watak adiwira Spiderman, bahkan tidak takut untuk bergayut.
Menceritakan permulaannya, anak jati Selangor ini berkata, minatnya dalam hobi itu ditanam sejak zaman persekolahan lagi.
Namun, ia hanya berjaya direalisasikan selepas tamat universiti pada 2015.
Hal itu dipengaruhi oleh faktor duit dan malu untuk mengorak langkah ke hadapan.
Tetapi, setelah bekerja dan memiliki pendapatan tetap, dia memberanikan diri ke pusat latihan dengan ditemani rakan serta adik.
“Saya sudah bermain pelbagai jenis sukan seperti futsal dan bola jaring, tetapi mungkin bakat saya bukan di situ.
“Berbeza dengan memanjat dinding, saya dapat menikmati keseronokan dan kepuasan luar biasa,” ujarnya kepada Seri.
UJI FIZIKAL, MENTAL
Justeru, tidak hairanlah jurutera industri elektrikal ini masih setia dengan hobi itu setelah hampir sedekad bergelumang dengannya.
Jelasnya, sukan memanjat dinding menguji fizikal dan mental seseorang tanpa mengira secara indoor atau outdoor.
Ini kerana keseluruhan proses itu melibatkan kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah.
Oleh itu, pendaki perlu bijak mengatur strategi dalam menentukan laluan yang tepat.
Terdapat beberapa jenis teknik dan kategori memanjat dinding antaranya free climbing; bouldering (jenis panjatan dengan jalur pendek tanpa tali); lead (pendaki menjejak atau membuka laluan); top rope climbing (pendakian cerun mengikut laluan ditetapkan) dan free solo climbing.
Semua teknik itu, katanya, memerlukan latihan mendalam hingga bergelar profesional.
Mengulas mengenai latihan, rutin itu dilakukan empat kali seminggu iaitu di sebelah malam selepas kerja dan pada hujung minggu.
Dua kali cedera
Setiap sukan ekstrem memiliki risiko dan Nadira tidak terkecuali pernah mengalami kecederaan akibat memanjat dinding.
Kecederaan pertama dialami pada Februari 2022 yang melibatkan buku lali kaki kiri.
“Tiga minggu saya tidak boleh berjalan kerana ligamen koyak dan pada tahun lalu, kecederaan berulang sekali lagi.
“Ia melibatkan anterior talofibula ligament (ATFL), posterior talofibular ligament (PTFL) dan ligamen calcaneofibular (CFL),” katanya.
Menurut Nadira, kecederaan buku lali sangat sinonim dalam kalangan wanita yang aktif dalam aktiviti memanjat.
Manakala, golongan lelaki pula berdepan risiko kecederaan bahu.
“Bila tengok saya cedera, keluarga memang ‘bising’ tetapi saya tidak serik dan belum rasa nak berhenti.
“Sudah namanya pun bersukan, risiko cedera itu memang ada. Individu yang tidak bersukan pun terdedah untuk mendapatnya jika berlaku kemalangan seperti terjatuh tangga atau tergelincir.
“Selagi sihat, saya akan teruskan hobi ini dan kekal aktif demi kesihatan,” katanya yang juga gemar mendaki dinding outdoor di Gua Damai, Batu Caves.
Utamakan keselamatan
Aktiviti mendaki menuntut kekuatan tangan dan kaki di samping keseimbangan badan.
Pendaki juga perlu bijak untuk memilih rongga dinding atau batu untuk dicapai, untuk bergerak maju ke atas.
“Pendaki bukan sekadar perlu memiliki kemahiran ketika melakukan aktiviti berkenaan, sebaliknya ilmu berkaitan aspek keselamatan.
“Seperti kita tahu, sukan ini memang ekstrem, jadi aspek keselamatan tidak boleh diabaikan atau dipandang ringan ketika mendaki dan belaying (teknik memegang tali panjat tebing untuk pendaki).
“Sebab itulah individu yang tiada pengalaman dilarang mencuba demi menjamin keselamatan diri,” katanya yang pernah menyertai beberapa kejohanan memanjat dinding.
Mengulas mengenai peralatan, jelasnya, antara yang diperlukan ialah climbing holder yang berfungsi untuk menahan atau menyokong pendaki memanjat dinding, harness; carabiner dan tali.
Impi buka gimnasium
Sebagaimana pendaki lain, Nadira turut memasang angan-angan untuk memiliki gimnasium untuk sukan ekstrem itu.
Rancangan jangka panjangnya itu bagi memperkasakan lagi aktiviti memanjat dinding dalam kalangan masyarakat.
“Selain itu, azam saya untuk mendaki di kawasan pendakian terkenal di dunia,” katanya yang mengimpikan pendakian di Greece.
Nadira menasihatkan kaum hawa yang mahu menceburi sukan mendaki untuk mengetepikan segala pandangan negatif.
Ujarnya, kebanyakan pendaki berpengalaman tidak lokek ilmu dan sedia membantu orang baharu.
“Rata-rata pendaki gemar berkawan dan automatik akan mengajar sesiapa sahaja yang masih baharu dalam sukan ini.
“Sekiranya pergi ke gimnasium mendaki, tegur sahaja mereka dan jangan malu bertanya,” katanya.
Ketika ditanya tentang masa depan sukan pendakian di Malaysia, Nadira berkata, persatuan sedia ada perlu dipimpin mereka yang faham dan berpengalaman luas.
Ia penting agar setiap agenda yang dilaksanakan kelak memfokuskan kepada pendaki dinding dan tidak bercampur-aduk dengan sukan mendaki gunung serta lain-lain.
“Di bawah Persekutuan Mendaki, ia dilihat masih umum dan kalau dapat dispesifikkan serta beri fokus kepada pembangunan sukan pedakian tembok lagi bagus.
“Ini secara tidak langsung membolehkan persatuan mengurus semua gimnasium mendaki dan mengadakan pertandingan yang lebih teratur untuk atlet serius,” akhirinya.-UTUSAN










