Saya tinggal di rumah sewa dengan seorang kawan. Dia lebih tua daripada saya. Kehidupan saya banyak diatur oleh dia. Pergerakan dan tingkah laku saya sering ditegur sehingga menyebabkan saya rimas, rasa tidak bebas dan terganggu.
Lelaki dilema
Jawapan
Memiliki rakan serumah yang baik adalah satu anugerah. Namun, jika kebaikan yang diberikan mengganggu emosi seseorang, ia boleh menjadi satu bebanan.
Lebih mencabar apabila tinggal bersama dengan rakan serumah lebih tua, yang cenderung menegur dan mengatur aktiviti harian sehingga menimbulkan ketidakselesaan.
Oleh itu, penting untuk mencari jalan penyelesaian agar kesejahteraan diri terjaga. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda pertimbangkan:
Kenal pasti punca teguran – Kenal pasti punca utama kawan serumah sering menegur anda. Adakah ia berkaitan dengan peraturan rumah, perbezaan pendapat atau sifat semula jadi dia suka mengawal? Jika perkara kecil, cuba untuk memahami pandangannya tanpa terus mengambil hati.
Berbincang dengan berhemah – Pilih masa yang sesuai untuk bercakap dengan kawan serumah. Luahkan perasaan dan jelaskan perkara yang anda tidak selesa dan elakkan daripada menyalahkan dia secara langsung.
Tetapkan batasan – Jika teguran itu melampaui batas seperti mengkritik, menghina atau menjatuhkan maruah, anda perlu menetapkan batasan apabila bercakap dengan dia. Ia dapat membantu dia memahami bahawa anda juga ada hak untuk menjalani kehidupan sendiri.
Pertimbangkan hubungan – Adakah duduk dengan kawan memberi lebih banyak kebaikan atau tekanan? Jika tekanan lebih besar, anda mungkin perlu memikirkan jalan penyelesaian jangka panjang yang lebih efektif.
Mencari sokongan – Bercerita kepada rakan lain, ahli keluarga atau mendapatkan khidmat kaunseling yang boleh membantu anda melihat masalah ini daripada sudut yang lebih luas. Boleh minta pandangan orang yang anda percayai untuk memastikan anda tidak bertindak melulu.
Jaga kesihatan mental – Ambil masa untuk diri sendiri. Beriadah, mendengar muzik atau membaca buku boleh membantu anda mengurangkan tekanan. Jangan biarkan keadaan ini terlalu mempengaruhi emosi dan kesihatan anda.
Cari rumah lain – Jika situasi ini tidak berubah dan terus menjejaskan kesejahteraan anda, pertimbangkan untuk berpindah. Walaupun ia memerlukan usaha, hidup dalam suasana yang lebih harmoni boleh memberi ketenangan jangka panjang.
Kesimpulannya, anda tidak mampu mengawal sikap orang lain, tetapi anda mampu mengawal diri anda sendiri.-UTUSAN










