Harapan peningkatan populasi Harimau Malaya

Harapan peningkatan populasi Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH sekian lama dilaporkan mengenai ancaman kepupusan Harimau Malaya, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini memaklumkan populasi harimau menunjukkan perkembangan positif.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Perlindu­ngan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Perak juga menyatakan jumlah subspesies harimau belang atau nama saintifiknya iaitu Panthera tigris jacksoni kini meningkat di kawasan Belum-Temenggor di Hulu Perak.

Kawasan Belum-Temenggor merupakan satu daripada tiga habitat utama haiwan pemangsa itu di negara ini selain Taman Negara (Pahang, Terengganu, Kelantan) dan Endau-Rompin (Johor, Pahang)

Mungkin awal untuk rasa gembira namun kenyataan-kenyataan tersebut memberikan harapan bahawa usaha yang dijalankan sebelum ini bagi melindungi dan menambah bilangan Harimau Malaya di habitat liarnya kini di arah yang betul.

Walaupun tiada angka rasmi bilangan terkini selepas bancian terakhir menunjukkan ia kurang daripada 150 ekor, namun pujian perlu diberikan hasil komitmen pelbagai pihak agar haiwan ikonik negara itu tidak kembali menurun jumlahnya.

Ini termasuklah pelaksanaan sembilan tindakan strategik bagi melindungi Harimau Malaya yang diambil kerajaan.

Ia antaranya menerusi pembentukan Pasukan Petugas Khas Bagi Konservasi Harimau Malaya, peningkatan penguatkuasaan menangani pemburuan haram dan juga program Operasi Bersepadu Khazanah dan Renjer Komuniti.

Bagaimanapun, Harimau Malaya juga terdedah dengan risiko dilanggar kenderaan dan ia terbukti apabila sepanjang tempoh dua tahun lalu, enam ekor telah mati yang sedikit sebanyak memberikan tekanan dalam usaha memulihkan populasi haiwan itu.

Bukan tiada tindakan diambil bagi mengatasi isu road-kill yang melibatkan haiwan-haiwan liar ini namun ia tetap berulang berlaku.

Selain kesedaran supaya masyarakat dapat bersama melindungi habitat liar Harimau Malaya ini, penyertaan awam juga diperlukan setidak-tidaknya mereka peka dengan tanda amaran yang dipasang selain tidak memecut kenderaan di kawasan ‘hotspot’.

Trend peningkatan populasi harimau belang sebenarnya tidak hanya di negara kita namun beberapa negara Asia Tenggara lain seperti Thailand dan Myanmar juga melaporkan situasi serupa. Kedua-dua negara ini mengakui komitmen tinggi melindungi harimau yang menjadi agenda negara banyak membantu dalam peningkatan tersebut.

Jika itu sahaja caranya, Malaysia juga perlu menggunakan apa juga sumber yang ada untuk terus menambah jumlah Harimau Malaya dalam hutan belantara kita. Sudah tentu kita tidak mahu segala usaha yang dilaksanakan hanya sia-sia sehingga kelak Harimau Malaya hanya tinggal pada nama dan jata negara sahaja.

Badrul Hafizan Mat Isa ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia

×