Ubah mentaliti, utama pendidikan elak diperdaya

Ubah mentaliti, utama pendidikan elak diperdaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMUA pihak perlu mengambil perhatian serius berkenaan ketidakhadiran 8,076 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 untuk menjawab semua kertas peperiksaan bertulis seperti mana direkodkan Kementerian Pendidikan.

Jumlah itu membabitkan daripada 402,956 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu di 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara termasuk 6,231 pelajar sekolah Kementerian Pendidikan.

Namun sebelum itu, di Johor dilaporkan bahawa golongan muda negeri itu beranggapan masih boleh mendapat pekerjaan di Singapura dengan gaji yang lumayan sekali gus menjadi punca lebih 900 calon SPM tidak menduduki peperiksaan tersebut.

Isu calon SPM tidak hadir bukan isu baharu malah perkara ini banyak kali dilaporkan oleh media massa termasuk Utusan Malaysia agar perkara tersebut dita­ngani dengan lebih serius oleh semua pihak.

Perkara itu mendapat perhatian serius Kementerian Pendidikan apabila analisis kehadiran calon bagi pepe­riksaan SPM yang dilaporkan setiap tahun adalah berdasarkan calon sekolah kementerian yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.

Antara sebab utama ketidakhadiran calon ketika peperiksaan SPM 2024 adalah termasuk bekerja, masalah keluarga, masalah kesihatan, meninggal dunia dan berpindah ke luar negara memetik jawapan bertulis Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Dewan Rakyat, semalam.

Perkara itu amat membimbangkan kerana akan menjadikan masalah keciciran dalam pelajaran akan terus berlarutan.

Tanpa SPM, kemungkinan mereka sukar untuk mencari pekerjaan atau melanjutkan pendidikan ke tahap lebih tinggi sama ada bidang sains sosial apatah lagi sains tulen yang menuntut seseorang itu mempunyai kelulusan dan tahap kelulusan lebih tinggi dalam subjek Matematik, Kimia, Biologi, Fizik dan Sains.

Namun yang perlu diberi perhatian adalah alasan mahu bekerja itu sendiri sehingga sanggup tidak hadir menjawab peperiksaan, sedangkan pelajar atau majikan sendiri perlu memberi ruang untuk menghadiri SPM dan bukannya mengambil mudah tentang masa depan mereka.

Sebenarnya Kementerian Pendidikan khususnya pentadbir sekolah dan guru telah banyak berkorban apabila sanggup datang ke rumah calon tidak hadir peperiksaan agar mereka datang pada keesokan harinya, perkara ini pernah dilalui sendiri oleh rakan penulis yang merupakan seorang warga pendidikan di utara.

Kongsinya, dia mengakui cabaran itu dan menyifatkannya sebagai tanggungjawab untuk memastikan bakal pelapis masa depan Malaysia memiliki kelulusan minimum pencapaian SPM, tetapi perasaan hambar apabila akibat sikap tidak acuh pelajar itu sendiri.

Kesimpulannya, calon tidak jawab SPM bukan masalah kerajaan dan Kementerian Pendidikan, sebaliknya mentaliti pelajar perlu diubah supaya mereka melihat pendidikan sebagai keutamaan, bukannya terperdaya dengan kemewahan pempengaruh media sosial kononnya kerjaya itu akan menjamin masa depan.

Juani Munir ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN