Bangladesh sasar pilihan raya menjelang Disember

Bangladesh sasar pilihan raya menjelang Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Kerajaan peralihan Bangladesh sedang berusaha untuk mengadakan pilihan raya umum menjelang Disember tahun ini.

Perkara itu dicapai semasa delegasi Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang diketuai setiausaha agungnya, Mirza Fakhrul Islam Alamgir bersama ketua kerajaan sementara, Muhammad Yunus.

Semasa sesi perjumpaan, mereka menyatakan persetujuan dalam kalangan parti politik untuk mengadakan pilihan raya secepat mungkin. 

“Kerajaan peralihan telah memberi jaminan bahawa pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat. 

“Ketua penasihat (Yunus) dan wakil kerajaan yang hadir dalam mesyuarat itu turut menyatakan bahawa mereka sedang berusaha untuk mengadakan pilihan raya menjelang Disember tahun ini,” kata Alamgir kepada pemberita selepas sesi pejumpaan itu.  

Selain itu, beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerajaan akan membentangkan pelan hala tuju tidak lama lagi.  

“Apa yang kami tekankan berulang kali ialah kerajaan ini adalah kerajaan peralihan. Jadi, kami sekali lagi menggesa mereka untuk mengadakan pilihan raya awal,” jelasnya.

Bagaimanapun, Gerakan Mahasiswa Anti-Diskriminasi  bertegas untuk melaksanakan reformasi besar kerana pemerintahan Hasina mempolitikkan sistem secara menyeluruh dan pembaharuan perlu dilakukan bagi menutup laluan kepada kemunculan sebuah rejim fasis pada masa hadapan.

Kerajaan pimpinan Yunus menubuhkan enam suruhanjaya berasingan untuk melaksanakan pembaharuan dalam beberapa sektor termasuk Perlembagaan, sistem pilihan raya, kehakiman, sistem anti-rasuah, pentadbiran awam dan pentadbiran polis.

Setiap suruhanjaya itu telah pun mengemukakan laporan dengan cadangan pembaharuan masing-masing.

Sabtu lalu, Penasihat Undang-undang, Asif Nazrul berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan parti-parti politik pada bulan ini bagi mencapai kata sepakat mengenai cadangan enam suruhanjaya itu.

BNP turut menuntut tindakan tegas terhadap pegawai pentadbiran yang didakwa sebagai ‘sekutu rejim fasis’ serta terlibat dalam penyelewengan sumber negara dan memohon pemulangan semula wang yang telah diseleweng ke luar negara.

Baru-baru ini, Yunus mendedahkan bahawa kira-kira AS$17 bilion (RM75.48 bilion) telah dikeluarkan daripada sistem perbankan negara oleh oligarki yang rapat dengan pemerintahan diktator manakala AS$16 bilion (RM71.04 bilion) lagi diseleweng setiap tahun sepanjang 15 tahun pemerintahan Hasina.

Sementara itu, BNP turut menuntut penarikan semula kes-kes yang didakwa bermotifkan politik terhadap pemimpin dan aktivis parti sejak 15 tahun lalu. 

Mereka mendakwa, kerajaan pimpinan Hasina telah memfailkan kira-kira enam juta kes terhadap pembangkang atas tujuan politik.

Bagaimanapun, Hasina yang kini berada dalam buangan di India sejak kejatuhan pemerintahannya, berulang kali menafikan dakwaan tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×