SYDNEY: Seorang lelaki di Australia dijatuhi hukuman penjara 21 tahun selepas mengaku bersalah membunuh isterinya yang sedang hamil sebelum cuba melupuskan mayat mangsa dengan menggunakan asid.
Mangsa, Arnima Hayat, 19, yang berasal dari keluarga imigran Bangladesh, ditemukan mati dalam keadaan tragis di apartmennya di North Parramatta, Sydney.
Mayat mangsa yang hampir reput memerlukan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) untuk pengesahan selepas pihak polis menemukan sisa mayat dalam bilik air dipenuhi bau bahan kimia.
Arnima, yang sebelum ini dikenali sebagai gadis ceria dan rapat dengan keluarganya, mengalami perubahan drastik selepas berkahwin dengan Meraj Zafar, 20, seorang pembantu jurubina.
Keluarga Arnima pada awalnya menyuarakan kebimbangan terhadap Zafar yang didapati bersikap mengongkong dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Hubungan mereka didakwa semakin tegang apabila beliau memarahi bapa gadis tersebut, Abu Hayat, selepas permintaannya untuk berkahwin ditangguhkan sehingga keluarga kedua-dua belah pihak bertemu.
Sikap agresif Zafar menyebabkan Abu membuat laporan polis, yang kemudian mengeluarkan perintah larangan terhadap Zafar namun begitu, pasangan itu tetap melangsungkan perkahwinan secara tertutup pada Oktober 2021 tanpa kehadiran ahli keluarga.
Selepas berkahwin, Arnima menjalani kehidupan terasing dan sering mengalami penderaan fizikal daripada suaminya dan menurut rakan, beliau pernah mengadu dipukul sehingga pengsan sehingga takut untuk melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.
Keganasan rumah tangga itu mencapai kemuncak pada 30 Januari 2022 apabila ibu Zafar menghubungi polis, bimbang akan keselamatan Arnima selepas satu lagi pertengkaran sebelum mereka menemukan apartmen pasangan itu dalam keadaan mencurigakan dengan bau bahan kimia yang kuat.
Siasatan mendapati Zafar membeli 100 liter asid hidroklorik beberapa hari sebelum kejadian dan lebih mengejutkan lagi, carian internet beliau mendedahkan pencarian berkaitan bagaimana asid boleh melarutkan kulit dan hukuman bunuh di Sydney.
Zafar turut dilaporkan cuba melarikan diri dengan memeriksa harga tiket penerbangan antarabangsa sebelum menyerah diri kepada pihak berkuasa dalam tempoh 20 jam selepas kejadian.
Pada Mei tahun lalu, Zafar mengaku bersalah atas tuduhan membunuh dan dijatuhi hukuman penjara selama 21 tahun enam bulan dengan kelayakan parol selepas 16 tahun. – AGENSI










