Segerakan projek tebatan banjir, basmi kemiskinan

Segerakan projek tebatan banjir, basmi kemiskinan

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan warga Jabatan Perdana Menteri selepas Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Februari 2025 di Puspanitapuri, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek tebatan banjir diberi kelonggaran oleh Perbendaharaan supaya pelaksanaannya dapat dipercepatkan melalui peruntukan segera bersama Kementerian Ekonomi.

Perdana Menteri berkata, pro­­ses saringan awal projek juga perlu lebih cepat dan pemberian projek lebih baik menggunakan kaedah tender kerana kaedah secara run­dingan dipercayai banyak berlaku keterlanjuran dan ketirisan.

“Jadi sebaiknya kita gunakan tender tetapi tender itu kalau dalam (prosedur) biasa, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tahu akan mengambil masa terlalu panjang.

“Dan orang yang terkesan dengan banjir itu tidak mampu menunggu. Hal-hal ini saya harap dapat diberikan perhatian,” katanya pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Anwar ber­kata, program membasmi ke­­miskinan tegar juga perlu segera diselesaikan dan dipantau pelaksanaannya.

“Projek kemiskinan tegar kejayaannya adalah baik, Alhamdulillah. Tetapi jumlah­nya itu bertambah. Saya semak umpamanya di Parlimen Tambun, berapa yang masih kekal kemiskinan tegar sekitar 15 keluarga, tetapi untuk ke­seluruhan Perak mungkin lebih 100.

“Jadi saya sebut 15 keluarga itu boleh cari dan selesaikan dalam dua hari supaya kemiskinan tegar itu dapat dibereskan,” katanya.

Anwar juga masalah ke­mis­kinan tegar di Wilayah Per­se­kutuan boleh diselesaikan sama ada oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat atau agensi zakat dan Majlis Agama.

Apa yang penting katanya, sekecil-kecil masalah mampu diselesaikan walaupun soal ke­miskinan tegar itu besar mak­nanya bagi sebuah ke­luarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×