Bantah dasar baharu sahkan doktor pakar

Bantah dasar baharu sahkan doktor pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dasar baharu Kementerian Kesihatan yang mewajibkan tempoh pengesahan sebagai doktor pakar sehingga 18 bulan berban­ding enam bulan sebelum ini disifatkan tidak adil dan satu eksploitasi terhadap golongan itu.

Lanjutan tempoh itu terkandung dalam garis panduan yang dipinda menerusi Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dan Perintah Am, Bab F.

Namun, sepanjang tempoh peralihan itu, pakar diklasifikasikan sebagai pegawai perubatan dan dibayar gaji seperti biasa walaupun mereka menjalankan tugas bertaraf pakar.

Menurut seorang pakar perubatan yang bertugas di salah sebuah hospital Lem­bah Klang, secara ringkasnya, seorang doktor pakar bedah atau pakar bius yang baru diiktiraf akan menerima gaji yang sama seperti pegawai peruba­tan junior (sekitar RM5,000–RM7,000 sebulan).

Katanya, walaupun mereka mengendalikan kes-kes rumit, membuat keputusan hidup dan mati serta bekerja dalam keadaan yang amat mencabar, ini bukan sekadar satu tindakan tidak adil, malah ia adalah ‘kecurian’ gaji yang diinstitusikan.

“Lebih buruk lagi, kerajaan telah menghapuskan tuntutan gaji secara backdated. Ini bermakna, walaupun selepas menamatkan tempoh peralihan selama 18 bulan, pakar-pakar ini tidak akan menerima bayaran sewajarnya untuk tenaga dan kepakaran yang telah mereka sumbangkan.

“Bayangkan bekerja sebagai pakar selama satu setengah tahun, mereka tidak akan dibayar setimpal dengan kepakaran yang telah dilaksanakan,” katanya di sini semalam.

Kata beliau, butiran kecil dalam dasar ini mendedahkan lebih banyak ketidakadilan yang mana pakar bukan sahaja dibayar rendah tetapi terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan birokrasi yang menyebabkan proses pewartaan mereka tergendala atau terbatal.

Sebagai contoh katanya, seorang doktor yang mengambil cuti lebih daripada 15 hari (termasuk cuti sakit atau cuti bersalin) boleh mengganggu garis masa pewartaan, menyebabkan tempoh pewartaan dilanjutkan atau dimulakan semula.

Ini bermakna seorang pakar yang jatuh sakit atau mengambil cuti bersalin mungkin terpaksa melalui tempoh peralihan yang lebih lama dan tetap menerima gaji status pegawai perubatan.

Pada masa sama, katanya, calon pakar yang membuat rayuan penempatan akan menghadapi kelewatan pengesahan pakar tanpa kepastian, di mana tarikh pewartaan mereka hanya akan dikira secara terkebelakang maksimum enam bulan dari tarikh mereka melapor diri.

Ini menjadikan ramai pakar tersekat dalam jawatan bergaji rendah selama berbulan-bulan atau bahkan bertahun-tahun tanpa mengira sama ada rayuan mereka diterima atau ditolak.

“Seorang pakar juga mesti melengkapkan buku log dan laporan naratif yang dinilai berdasarkan kriteria ketat seperti ‘Kemahiran Kepimpinan’, ‘Etika’ dan ‘Kecekapan Klinikal’.

“Kegagalan memenuhi kriteria ini akan menyebabkan mereka perlu memohon semula, seterusnya memanjangkan lagi tempoh eksploitasi.

“Halangan-halangan ini memberi tekanan besar kepada pakar yang sudah pun berhadapan dengan kos sara hidup tinggi serta beban kerja yang menyebabkan keletihan melampau,” katanya.

Beliau berkata, sektor kesihatan Malaysia telah lama berhadapan dengan masalah penghijrahan tenaga pakar (brain drain), di mana ramai profesional memilih untuk berpindah ke negara seperti Singapura, Australia dan Timur Tengah yang menawarkan gaji tiga ke lima kali lebih tinggi, maka dasar ini hanya akan mempercepatkan lagi fenomena ini.

Laporan Kementerian Kesihatan sendiri menganggarkan bahawa Malaysia akan mengalami kekurangan 22,435 pakar menjelang tahun 2030. Bagaimanapun kerajaan tidak mencari jalan untuk mengekalkan tenaga kerja ini, sebaliknya melaksanakan dasar yang semakin mengusir mereka keluar.

“Sebagai contoh kisah Dr. A, seorang pakar bedah yang menghabiskan sedekad dalam latihan di Malaysia. Setelah layak diiktiraf sebagai pakar, Dr. A teruja untuk menerima gaji setimpal dan menyara keluarganya. Namun, beliau diberitahu perlu bekerja selama 18 bulan sebagai pegawai perubatan, menerima kurang daripada separuh gaji yang sepatutnya.

“Atau kisah Dr. B, seorang pakar bius muda yang mengambil cuti bersalin semasa tempoh pewartaan. Oleh kerana cutinya melebihi 15 hari, garis masa pewartaannya diulang semula, menyebabkan beliau terpaksa melalui tambahan enam bulan kerja keras dengan gaji rendah,” katanya.

Justeru, beliau memohon kerajaan dan Kementerian Kesihatan membatalkan pelanjutan pewartaan pakar serta-merta dan kembali kepada tempoh asal enam bulan dengan memastikan pakar dibayar dengan adil dari hari pertama perkhidmatan mereka.

Katanya, seorang pakar perlu dibayar atas status pakar, bukan pegawai perubatan, sepanjang tempoh peralihan itu kerana khidmat kepakaran mereka wajar dihargai.

“Kerajaan perlu melabur dalam sektor kesihatan, bukan pemotongan peruntukan. Memotong gaji sambil menuntut kerja berlebihan bukan ‘matematik mudah’ tetapi ia adalah jalan menuju kehancuran.

“Dasar ini bukan sekadar pemotongan gaji, ia adalah satu pengkhianatan. Ia memperlekeh pengorbanan pekerja kesihatan yang telah bertahan melalui pandemik, kekurangan dana, dan pengabaian sistemik.

“Malaysia tidak mampu kehilangan lebih ramai pakar. Kerajaan harus memilih sama ada mahu menghargai wira kesihatan mereka, atau menyaksikan sistem ini runtuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×