MUSIM cuti sekolah biasanya direbut oleh ibu bapa untuk membawa anak-anak lelaki menjalankan prosedur bersunat atau berkhatan di klinik atau hospital.
Pelbagai reaksi kanak-kanak yang bakal dikhatan dapat dilihat. Ada yang tenang dan meronta-ronta sambil menangis apabila tiba giliran untuk masuk ke bilik berkhatan. Ada juga sempat melarikan diri kerana takut.
Pakar Bedah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Setiausaha Agung I-Medik Pusat, Dr. Muhammad Irfan Mohamad Salmi berkata, sebaiknya ibu bapa memastikan beberapa perkara sebelum memutuskan untuk mengkhatankan anak.

Bagi ibu bapa, pastikan anak-anak bersedia secara mental untuk menjalani prosedur bersunat. Elakkan memaksa anak kerana khuatir mereka terlalu aggresif ketika bersunat dan menyebabkan kecederaan atau sebarang komplikasi.
“Ibu bapa juga perlu mengambil beberapa langkah sebagai persediaan melatih anak yang lelaki untuk menarik kulit kemaluan mereka untuk menampakkan kelenjar penis beberapa hari sebelum bersunat, “ katanya.
Katanya lagi, persediaan itu bagi mengurangkan risiko phimosis atau kecacatan pada urethra meatus seperti hypospadius yang mana memerlukan rawatan di hospital oleh pakar.
Phimosis atau biasanya disebut kulup buta adalah kecacatan lain pada bukaan saluran kencing(meatus) seperti hypospadius atau bukaan meatus bukan dihujung kelenjar kemaluan tetapi di bahagian bawah kelenjar kemaluan.
Semua kecacatan atau abnormaliti ini memerlukan kepada pakar untuk merawat dan kemungkinan pembedahan khas.
Kelebihan bersunat
Bagi Muslim, saranan bersunat termaktub dalam hadis nabi dan sebagai Muslim bermazhab syafie, bersunat adalah sesuatu yang wajib dilaksanakan .
Dr. Muhammad Irfan berkata, jika dilihat kelebihan bersunat daripada sudut kesihatan, berkhatan sudah semestinya berkaitan kebersihan dan mengurangkan risiko jangkitan.
“Kajian mendapati risiko jangkitan kencing adalah enam kali ganda lebih tinggi bagi mereka yang tidak bersunat berbanding mereka yang bersunat bagi kanak-kanak yang berumur 1 hingga 16 tahun.
“Bersunat boleh dilakukan seawal bayi baru dilahirkan sehinggalah usia sebelum baligh. Ada juga sunat yang dilakukan kepada orang dewasa disebabkan isu kesihatan, pencegahan jangkitan ataupun berkaitan agama, “ katanya.
Tiada umur yang spesifik untuk membolehkan seseorang kanak-kanak menjalani prosedur berkhatan ini. Amalan di negara Islam lain seperti Arab Saudi dan Mesir, prosedur bersunat dilakukan ke atas bayi yang baru lahir sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
Namun amalan ini tidak dilakukan di hospital-hospital kerajaan di Malaysia tetapi ditawarkan di beberapa hospital swasta.
Katanya, prosedur sunat kanak-kanak, kebiasaannya dilakukan oleh pegawai perubatan yang terlatih. Ada juga yang dibuat oleh pembantu pegawai perubatan (AMO) terutama dalam program sunat berskala besar dan memerlukan ramai tok mudin.
Komplikasi
Dr. Muhammad Irfan berkata, komplikasi yang paling kerap berlaku selepas bersunat adalah pendarahan. Ia boleh berlaku ketika prosedur dijalankan atau dalam tempoh 24jam.
“Pendarahan berlaku selepas beberapa hari biasanya disebabkan jangkitan. Selain itu komplikasi yang biasa adalah jangkitan di kawasan pembedahan. Walaupun jarang, namun ada ketikanya kulit yang dipotong tidak mencukupi menjadikan kemaluan kanak-kanak seolah masih belum disunat,” katanya.
Tanda-tanda berlaku komplikasi apabila pendarahan dapat dilihat dengan jelas dan darah menitik keluar daripada kawasan pembedahan. Kain sarung yang dipakai kanak-kanak itu juga kelihatan basah lencun dengan darah.
Sekiranya berlaku jangkitan, ia dapat dilihat daripada luka sunat yang tidak bersih, adanya lelehan (discharge) yang keluar dandi sekitar kemaluan yang menjadi merah. Bagi kulit yang tidak cukup dipotong, kelenjar penis kanak-kanak akan dilihat masih tertutup atau separa tertutup dengan kulit sekitarnya.
Rawatan komplikasi
Prosedur bersunat mestilah dilakukan oleh tok mudin terlatih. Pendarahan perlu diberhentikan awal sebelum kulit dijahit. Ada beberapa tempat yang biasa berlaku pendarahan hendaklah diperiksa dengan teliti.
“Langkah awal adalah menekan kawasan yang berdarah. Jika pendarahan masih berterusan, luka jahitan perlu dibuka semula. Kawasan yang berdarah boleh dirawat menggukan jahitan atau energy device seperti bipolar ataupun thermal device seperti cautery. Kebiasaannya kanak-kanak ini dirawat di hospital dan rawatan diberikan dalam bilik bedah di mana kanak-kanak tersebut ditidurkan.
“Jika jangkitan berlaku, pada kebiasaan tablet antibiotik dan cucian luka sudah mencukupi untuk merawatnya. Jarang sekali kanak-kanak terbabit perlu dimasukan ke dalam wad dan antibiotik intravenous iaitu suntikan di bawah kulit diperlukan, “ katanya.
Menurutnya, komplikasi yang boleh menjejaskan fungsi seksual secara terus adalah kecederaan ke atas kelenjar penis kerana disinilah terletaknya kadar sensori tertinggi. Kecederaan kepada saraf penis boleh berlaku tetapi amat jarang.
“Komplikasi lain adalah kulit yang dipotong terlalu banyak yang mana boleh menyebabkan kesakitan apabila ereksi berlaku pada kemaluan. Lapisan mucosa yang terlalu panjang di sekitar kelenjar penis juga boleh menyebabkan ejakulasi pramatang, “ katanya.
Bagaimanapun katanya, semua komplikasi ini tidak menjejaskan bilangan sperma kanak-kanak tetapi lebih kepada fungsi kemaluan itu sendiri. – UTUSAN










