Saya ibu tunggal anak satu. Baru lepas bercerai dengan suami. Mempunyai seorang anak berstatus orang kurang upaya (OKU). Bagaimana saya ingin teruskan hidup dengan keadaan kewangan yang tidak stabil dan anak tiada orang jaga.
-Ibu buntu
JAWAPAN
Perceraian bukanlah pengakhiran, tetapi permulaan baharu dalam kehidupan seorang ibu atau bapa tunggal. Menghadapi perpisahan daripada sebuah perkahwinan pasti memberi kesan emosi yang mendalam kepada puan, bukan? Lebih-lebih lagi keperluan mengurus dan menjaga anak berstatus OKU. Sangat mencabar fizikal dan mental. Bagaimanapun, kehidupan perlu diteruskan.
Oleh itu, penting mencari cara yang sesuai bagi memastikan kehidupan dapat diteruskan dengan baik.
Bantuan kewangan – Boleh rujuk kepada beberapa agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM), Lembaga Zakat Negeri, Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Persatuan Ibu Tunggal malaysia (PITM), Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK), Wakil rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang fokus kepada kebajikan ibu tunggal dan anak OKU.
Sokongan komuniti – Sertai kumpulan sokongan ibu tunggal atau komuniti keluarga yang mempunyai anak OKU. Jangan segan untuk mendapatkan bantuan kerana ada banyak pihak yang sedia membantu. Mereka boleh memberi sokongan moral dan berkongsi ilmu dan pengalaman berguna sebagai panduan puan.
Kerja fleksibel – Cari kerja sambilan yang boleh dilakukan dari rumah seperti menjual nasi lemak, membuat kuih, mengambil upah melipat baju, menjahit pakaian atau menjual produk secara dalam talian.
Perancangan kewangan – Sediakan bajet ringkas untuk mengawal perbelanjaan. Fokus pada keperluan utama seperti makanan, perubatan dan pendidikan anak. Elakkan menambah hutang baharu dan cari cara menjimatkan kos harian.
Penjagaan kesihatan diri – Jangan abaikan keperluan emosi anda. Luahkan perasaan kepada orang yang boleh dipercayai atau dapatkan khidmat kaunseling daripada kaunselor berdaftar. Ambil masa untuk diri sendiri walaupun sekejap untuk menjaga kesihatan mental anda.
Penjagaan anak OKU – Semak kemudahan seperti pusat penjagaan harian OKU atau pusat terapi yang mungkin menawarkan khidmat jagaan separuh hari atau dengan bayaran rendah. Tanya bantuan keluarga terdekat atau rakan jika mereka boleh membantu sementara waktu.
Kesimpulannya, sekecil-kecil usaha yang dilakukan pasti akan memberi kesan dalam kehidupan. Yakinkan diri bahawa puan tidak keseorangan. Bantuan itu pasti sentiasa ada bagi mereka yang berusaha dan tidak takut untuk terus meminta pertolongan.-UTUSAN










