Gaji minimum dan jaminan kerja - Utusan Malaysia

Gaji minimum dan jaminan kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM sambutan Hari Pekerja disambut dalam suasana suram ekoran negara masih dibelenggu dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan banyak perusahaan terpaksa ditutup dan ratusan ribu pula kehilangan pekerjaan.

Daripada rekod Jabatan Perangkaan, jumlah penganggur di negara ini telah mencecah 777,500 orang. Itu belum diambil lepasan sekolah dan institut pengajian tinggi pada tahun lepas yang mula memasuki pasaran pekerjaan tetapi.

Situasi mencabar ini memerlukan penyelesaian segera dan berkesan kerana kegagalan menanganinya akan membawa kepada pelbagai isu sosial dan tidak mustahil akan mengheret negara ke dalam masalah lain yang lebih serius.

Dalam perutusan sempena Hari Pekerja semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyentuh mengenai usaha sedang dilaksanakan kerajaan iaitu mengkaji semula perintah gaji minimum 2020, bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosioekonomi semasa, yang juga merupakan elemen bagi mengelakkan majikan mengambil kesempatan daripada situasi sukar sekarang.

Sudah ada cerita yang timbul di mana graduan kejuruteraan hanya dibayar gaji RM1,500 sebulan yang mana ia tidak berbaloi dengan nilai sebenar diri mereka. Malah ada graduan yang tidak mempunyai pilihan terpaksa menerima apa sahaja pekerjaan yang asalkan mempunyai pendapatan untuk menyara diri walaupun gaji tidak sampai seribu ringgit.

Penguatkuasaan gaji minimum itu sangat penting, tetapi yang lebih mendesak sekarang ialah menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang kehilangan kerja akibat Covid-19 dan pendatang-pendatang baharu dunia pekerjaan – golongan yang baru mahu memulakan kehidupan.

Walaupun Perdana Menteri berkata kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif bagi memastikan pekerjaan yang luas kepada rakyat seperti menyediakan perkhidmatan pekerjaan dan pemadanan kerja melalui Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara (MYFutureJobs), UpskillMalaysia, HRDF Placement Centre (HPC) dan karnival pekerjaan secara bersasar, namun realitinya berapa ramaikah yang mendapat manfaat daripadanya? Adakah ia mencukupi?

Melalui Program Kerja Jangka Pendek (MySTEP) misalnya, sehingga 16 April lalu 30,377 orang berjaya mendapat pekerjaan dengan 27,503 pemohon ditempatkan di sektor awam manakala 2,874 orang pula ditempatkan bersama GLC dan rakan rakan strategik MySTEP. Angka yang menyertai MySTEP baru sekitar empat peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat kita yang menganggur di seluruh negara pada ketika ini. Masih sangat kecil.

Oleh itu, selain memastikan pelaksanaan gaji minimum dipatuhi, semua pihak sama ada kerajaan, swasta, korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan lain-lain lagi perlu menggembleng tenaga memulihkan pasaran pekerjaan di Malaysia yang sekaligus memulihkan ekonomi negara. Syarat utama sudah tentulah memastikan rantaian penularan Covid-19 diputuskan terlebih dahulu.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia