KUALA LUMPUR: PKR masih belum membuat sebarang keputusan berhubung tiada pertandingan membabitkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Adam Adli Abdul Halim berkata, segala pandangan berhubung tiada pertandingan kedua-dua jawatan itu merupakan pandangan setiap pemimpin dan ahli masing-masing.
“Untuk cadangan Datuk Seri Shamsul itu, setakat ini tiada keputusan rasmi dari parti, kita pun belum buat keputusan, ini bermakna yang diutarakan pemimpin-pemimpin itu adalah pandangan masing-masing.
“Soal ada pertandingan atau tidak ada, saya percaya keputusan parti ada rasionalnya dan juga ada sebab masing-masing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin sebelum ini berkata, PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung Mei ini.
Jelas Shamsul Iskandar, cadangan itu berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini.
Bagaimanapun, cadangan tersebut ditentang veteran PKR, Hasan Abdul Karim dimana jelasnya, sebagai sebuah parti demokratik, sepatutnya tidak ada sebarang seruan supaya dua jawatan tertinggi dalam parti tersebut tidak dipertandingkan.
Mengulas lanjut isu yang sama, Adam Adli turut berkata, dalam memelihara parti agar tidak berpecah, PKR juga perlu diperkenalkan dengan sistem baharu dalam pemilihan demi keadilan semua pihak.
“Kita harus pastikan politik wang itu tidak diamalkan dalam pemilihan kali ini terutamanya sebagai kerajaan, mungkin akan berlaku kecenderungan kepada beberapa orang yang berpengaruh. Jadi apa formulanya kita nak memastikan pemilihan ini berjalan dengan lancar?
“Seharusnya perkara-perkara sebegini yang perlu diberi tumpuan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Adam Adli berkata, semua ahli termasuk pemimpin PKR perlu memastikan tiada perpecahan yang akan berlaku pada pemilihan parti kali ini.
Beliau berkata, perkara itu amat penting bagi menunjukkan imej yang positif terhadap masyarakat memandangkan PKR merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN











