Kes tembak warga Indonesia: Polis tahan ‘orang tengah’

Kes tembak warga Indonesia: Polis tahan ‘orang tengah’

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang transporter atau ‘orang te­ngah’ yang mengatur perjalanan masuk dan keluar warga asing ke dalam negara secara haram.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seorang lelaki ditahan selepas siasatan awal yang dilakukan mendapati individu berkenaan mempunyai peranan sebagai transporter.

Menurut beliau, individu tersebut disahkan bertanggungjawab dalam membawa masuk atau keluar warga asing atau individu yang tidak mempunyai dokumen sah ke dalam negara.

“Polis sudah tangkap dan siasatan awal menunjukkan dia ada terkait dengan bot yang menjadi sasaran kerja oleh Agensi Pe­nguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia),” katanya semasa sidang media di Parlimen, semalam.

Terdahulu, media melaporkan, satu insiden tegang berlaku di perairan Tanjung Rhu apabila sebuah bot yang dipercayai dinaiki warga asing bertindak agresif dengan melanggar bot milik Maritim Malaysia sebanyak empat kali.

Bot yang dinaiki warga Indonesia itu juga dilaporkan cuba menyerang anggota penguatkuasa menggunakan parang.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 3 pagi ketika Maritim Malaysia sedang menjalankan rondaan di kawasan perairan ber­kenaan.

Insiden tersebut menyebabkan seorang warga Indonesia mening­gal dunia manakala empat lagi cedera dan kini meneri­ma rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terbabit dalam insiden kejar mengejar dengan bot warga Indonesia di perairan Pulau Carey, Selangor pada 24 Januari lalu direhatkan.

Saifuddin Nasution berkata, beliau juga sudah mengeluarkan arahan untuk agensi terbabit menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian tersebut.

Katanya, anggota yang terlibat itu direhatkan buat sementara waktu sementara siasatan tersebut dijalankan bersama siasatan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Maritim Malaysia sendiri sedang menjalankan siasatan dalaman ke atas anggota yang terbabit. Saya baru saja mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

“Kami setuju bahawa ketika siasatan dijalankan oleh pihak polis ke atas Maritim Malaysia, anggotanya yang terbabit dalam insiden itu, mereka akan direhatkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, siasatan yang dilakukan oleh pihak polis adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan (Akta 574) dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 (Akta 206).

Selain itu, jelasnya, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Siasatan ini masih awal dan kita tidak menolak kemungkinan apabila semakin kita menyoal siasat mereka yang ditangkap atau cedera yang kita tahan sekarang ini ianya boleh membawa kepada dibuka kertas siasatan berkait dengan penyeludupan dadah dan senjata,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×