Algoritma media sosial mempengaruhi kesihatan mental pekerja

Algoritma media sosial mempengaruhi kesihatan mental pekerja

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGUNAAN media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram menjadi sebahagian penting dalam kehidupan seharian pekerja di Malaysia. Platform-platform ini menawarkan pelbagai manfaat, termasuk kemudahan komunikasi, perkongsian maklumat dan hiburan.

Namun, di sebalik kelebihan tersebut, terdapat implikasi negatif terhadap kesihatan mental pekerja yang perlu diberi perhatian serius. Salah satu aspek yang mempengaruhi kesihatan mental ialah algoritma yang digunakan oleh platform media sosial untuk menyesuaikan kandungan kepada pengguna.

Algoritma media sosial direka untuk meningkatkan keterlibatan pengguna dengan menampilkan kandungan yang sesuai dengan minat dan tingkah laku mereka. Walaupun ini meningkatkan pengalaman pengguna, ia juga boleh menyebabkan ketagihan digital.

Pekerja yang menghabiskan masa berlebihan di media sosial mungkin menghadapi kesukaran menyeimbangkan antara kehidupan peribadi serta profesional, yang akhirnya menjejaskan produktiviti dan kesejahteraan mental. Kajian menunjukkan penggunaan media sosial yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan, kebimbangan dan kemurungan dalam kalangan pekerja.

Selain itu, algoritma media sosial cenderung menonjolkan kandungan popular atau sensasi, yang boleh menyebabkan perbandingan sosial. Pekerja mungkin merasa tertekan apabila melihat rakan sekerja atau individu lain mempamerkan kejayaan atau gaya hidup mewah. Ia boleh menimbulkan rasa rendah diri dan ketidakpuasan terhadap kehidupan sendiri. Fenomena ini dikenali sebagai takut ketinggalan (FOMO) memberi kesan negatif kepada kesihatan mental.

Tambahan pula, algoritma yang menapis dan menyesuaikan kandungan boleh mewujudkan ‘gelembung penapis, yang mana pekerja hanya terdedah kepada pandangan atau maklumat yang selari dengan kepercayaan mereka. Ini boleh menghalang pemikiran kritis dan memperkukuhkan prasangka, yang akhirnya menjejaskan hubungan interpersonal di tempat kerja. Kekurangan pendedahan kepada perspektif yang berbeza juga boleh mengurangkan kreativiti dan inovasi dalam kalangan pekerja.

Isu privasi juga menjadi kebimbangan apabila algoritma media sosial mengumpul dan menganalisis data peribadi pengguna. Pekerja mungkin tidak menyedari sejauh mana maklumat peribadi mereka digunakan, yang boleh menimbulkan rasa tidak selamat dan kebimbangan.

Selain itu, pendedahan berterusan kepada berita negatif atau maklumat yang mengganggu boleh menyebabkan ‘tekanan berita’. Pekerja yang sentiasa terdedah kepada kandungan sedemikian mungkin mengalami kebimbangan berlebihan sehingga boleh menjejaskan fokus dan prestasi kerja. Algoritma yang mengutamakan kandungan sensasi atau kontroversi untuk meningkatkan keterlibatan pengguna boleh memperburuk keadaan ini.

Untuk mengurangkan impak negatif algoritma media sosial terhadap kesihatan mental pekerja, beberapa langkah boleh diambil. Pertama, kesedaran mengenai penggunaan media sosial yang bijak perlu dipupuk. Pekerja harus dididik tentang cara mengurus masa dan kandungan di media sosial. Majikan boleh menganjurkan bengkel atau sesi latihan mengenai literasi digital dan kesihatan mental untuk membantu pekerja memahami risiko sekali gus cara mengatasinya.

Kedua, platform media sosial perlu lebih telus mengenai cara algoritma berfungsi serta memberi pilihan kepada pengguna untuk menyesuaikan tetapan privasi dan kandungan yang ingin mereka lihat. Dengan memberikan lebih kawalan kepada pengguna, pekerja dapat mengurus pengalaman media sosial dengan lebih baik, mengurangkan pendedahan kepada kandungan yang boleh menjejaskan kesihatan mental.

Ketiga, sokongan psikososial di tempat kerja perlu diperkukuhkan. Majikan harus menyediakan akses kepada perkhidmatan kaunseling atau sokongan kesihatan mental bagi pekerja yang memerlukan. Mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong dan memahami cabaran kesihatan mental boleh membantu pekerja merasa lebih selamat serta dihargai, yang seterusnya meningkatkan kesejahteraan keseluruhan.

Akhir sekali, pekerja sendiri perlu proaktif dalam menjaga kesihatan mental. Ini termasuk menetapkan batasan masa untuk penggunaan media sosial, mengambil rehat digital dan terlibat dalam aktiviti yang mempromosikan kesejahteraan seperti bersenam, bermeditasi atau meluangkan masa bersama keluarga serta rakan-rakan.-UTUSAN

AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Pengurus Kanan, Jabatan Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan, Kumpulan Interflour

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×