Meminta berdamai dengan takdir hanya kerana perkhidmatan kesihatan buruk

Meminta berdamai dengan takdir hanya kerana perkhidmatan kesihatan buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masalah membabitkan sistem kesihatan awam negara adalah seperti menaiki “merry-go-round” yang berpusing tanpa henti. Seorang bekas Menteri Kesihatan membidas langkah melaksanakan sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB) sebagai proses yang lahir daripada golongan tadbir dan diplomatik (PTD) sebagai analisis “yang melihat pada helaian Excel” tanpa memahami realiti yang berlaku.

Bekas menteri itu juga berkata kegagalan sistem WBB bagi petugas kesihatan berlaku kerana ada jurang pemahaman dalam kala­ngan birokrat di Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap realiti amalan perubatan.

Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) membi­das tuduhan bekas Menteri Kesihatan itu bahawa PTD gagal mema­hami cabaran sektor kesihatan sebagai “bukan sahaja tidak adil tetapi juga tidak mencerminkan realiti sebenar pentadbiran kerajaan.

Beberapa pihak kemudian seperti Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyokong langkah KKM untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji penjadualan waktu kerja dan pemerkasaan penyam­paian perkhidmatan kesihatan.

Jadi “sembang kari” pasal siapa yang patut disalahkan berterusan. Berapa banyak jawatankuasa hendak diwujudkan? Akhbar ini sejak seminggu lalu memperincikan mengenai jumlah pendaftaran doktor, masa menunggu lama sehingga 15 jam untuk rawatan serta kekurangan kemudahan selaras dengan jumlah penduduk.

Ini ringkasan yang kita tahu. Perkhidmatan hospital “sucks big time” kerana kekurangan doktor dan hospital. Ada doktor pelatih yang melengkapkan latihan kesihatan tidak peduli (don’t give a shit) untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan walaupun ia mandatori untuk melengkapkan kredibiliti mereka.

Mereka telah mendaftar untuk kertas ujian supaya dapat ber­khidmat di luar negara. Doktor yang bekerja “on-call” selama 33 jam pulang ke rumah hanya untuk menjamah secawan “Maggi in a cup” di depan televisyen. Mungkin pegawai PTD harus cuba be­kerja 33 jam membantu pesakit melahirkan anak termasuk mereka berusia remaja.

Mungkin bekas menteri kesihatan sepatutnya menubuhkan suruhanjaya perkhidmatan kesihatan ketika masanya berkuasa di kementerian itu.

Ini juga fakta. Kementerian Pendidikan bergantung kepada kira-kira 400,000 guru bagi mendidik lima juta pelajar. Siapa bertanya jumlah pesakit yang keluar masuk di semua hospital, klinik kesihatan, klinik desa, klinik kesihatan ibu dan anak serta pergigian di seluruh negara setiap tahun? Adakah 45,000 bilangan katil rasmi di hospital cukup?

Sebuah hospital swasta menjana pendapatan hampir RM4 bi­lion setahun dengan kurang daripada 4,000 katil. Bayangkan jumlah pendapatan untuk 45,000 katil milik KKM.

Mungkin tiba masanya, sistem kesihatan dirombak. Menteri yang dilantik bukan seorang doktor atau ahli politik sebaliknya ahli perniagaan atau profesional bidang perniagaan.

Ia bukan mengenai penyediaan katil atau kos. Ia merangkumi satu rantaian perniagaan termasuk perkhidmatan pelanggan, penyediaan kemudahan, pengurusan profesional doktor dan jururawat, dan tata kelola profesional. Ini bukan mengenai PTD atau WBB. Ini berkaitan nyawa dan hidup mati pesakit. Anda boleh berdamai dengan takdir kerana tidak boleh menjadi muda kerana semakin berusia. Tetapi KKM tidak boleh mengharapkan pesakit berdamai dengan takdir hanya kerana anda gagal melakukan yang sepatutnya.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. – UTUSAN