cemburu dengan kejayaan rakan

Cemburu dengan kejayaan rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAWAN saya dahulu sangat miskin, tapi sekarang sudah berjaya dan kaya.

Saya sebaliknya tidak berjaya dan banyak masalah hidup. Setiap kali saya melihat status sosial media dia, hati saya mula tidak senang dan sering menyalahkan diri kenapa saya tidak berjaya seperti dia?

SI KECEWA

JAWAPAN

Perjalanan hidup setiap orang berbeza-beza. Ada yang berjaya mencapai kejayaan dan ada yang sering gagal dalam hidup.

Perasaan kecewa apabila melihat kejayaan orang lain adalah normal. Namun, sekiranya emosi ini tidak diuruskan dengan baik, ia mungkin boleh memberi kesan negatif kepada diri anda. Beberapa cara yang boleh membantu agar tidak terus menyalahkan diri dan bangkit mencari kejayaan sendiri:

Terima diri sendiri – Akui bahawa inilah diri anda. Berhenti bandingkan diri dengan orang lain. Ingat bahawa jalan hidup setiap orang adalah berbeza. Fokus pada versi terbaik diri anda, bukan pada kehidupan orang lain.

Kenalpasti kejayaan diri – Fokus pada kejayaan yang pernah anda peroleh dalam hidup. Yakinkan diri bahawa anda juga pernah berjaya dan cari jalan untuk terus bangkit dan tingkatkan potensi diri yang luar biasa.

Jadikan rakan sebagai inspirasi – Daripada rasa kecewa, lebih baik anda belajar daripada perjalanan hidup rakan. Boleh tanya rakan tentang pengalaman dan cara yang digunakan sehingga menjadi orang berjaya. Ia mungkin dapat membantu anda mencari idea baharu.

Tetapkan matlamat realistik – Fokus kepada perkara yang boleh dikawal. Tetapkan matlamat kecil dan realistik yang boleh membawa anda selangkah lebih dekat dengan kehidupan yang anda inginkan.

Hadkan melihat media sosial – Jika media sosial menjadi punca utama perasaan rendah diri, kurangkan masa melayarinya. Ingatlah, apa yang dipaparkan di media sosial selalunya kisah yang terbaik dalam kehidupan seseorang, bukan keseluruhan gambaran hidup mereka.

Berbincang dengan orang yang dipercayai – Kadangkadang, meluahkan perasaan kepada seseorang yang boleh dipercayai dapat membantu melegakan tekanan emosi. Anda juga boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada kaunselor kerjaya.

Fokus kepada perubahan positif – Anda boleh mengambil langkah kecil untuk memperbaiki hidup dengan mengikuti program kemasyarakatan, tambahkan kemahiran baharu atau mempelajari sesuatu yang baharu dalam hidup anda.

Kesimpulannya, setiap perjalanan hidup ada cabarannya. Selagi mana ada kemahuan disitu ada jalannya. Terus berusaha dan jangan berputus asa, yakinlah bahawa peluang untuk mencapai kejayaan itu sentiasa ada. Anda berhak mendapat kebahagiaan dengan cara anda sendiri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×