ISU penjualan produk sandwich ham (sandwich dengan kepingan ayam) dan keju di cawangan kedai serbaneka dekat Universiti Malaya (UM) yang juga dikatakan menyalahgunakan logo halal masih belum reda.
Saya juga berhujah dengan rakan-rakan yang menganggap isu ini adalah isu ringan. Kata-kata pelik dan sedikit kurang bijak seperti “kalau begitu nama-nama seperti Hamzah, Hamidun, Hamisah dan Hamdan patutlah diharamkan sekali.” Ada juga yang mempersendakan dengan menyatakan orang Islam tidak boleh lagi menyokong pasukan-pasukan Liga Perdana Inggeris seperti Tottenham Hotspur dan West Ham kerana ada perkataan ‘ham’.
Hujah-hujah dangkal begini memang selalu didengar dan kita harus bersabar dalam memberikan penjelasan. Mereka tidak tahu membezakan isu halal haram makanan dengan nama orang dan nama pasukan bola sepak.
Ada yang memutarkan kata-kata dengan menyatakan ham itu ada pelbagai jenis seperti kepingan ayam dan kepingan daging. Isu ini tidak ditangani dengan cerdik menyebabkan dipersendakan begitu jauh sekali seperti mana seorang pelawak melalui hantaran di media sosialnya baru-baru ini memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan segelas kopi dinamakan dengan ham sap kopi berharga RM5.50. Hantaran itu turut menyatakan “saya begitu keliru, iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara. Saya mesti membuat laporan polis kerana terlalu lemah sehingga hilang semua kemampuan untuk berfikir secara logik. Siapa lagi yang keliru?”
Tulisan itu diikuti emoji ketawa hingga keluar air mata. Ingin saya katakan, ia adalah lawak hambar yang mempersendakan agama sendiri. Lagi satu pandangan dan hujahan yang tidak cerdik kerana tidak tahu membezakan secawan kopi dengan daging yang diragui kehalalannya.
Sebagai umat Islam lebih-lebih lagi berada di dalam negara Islam, yang prihatin tentang isu halal haram ini tentulah timbul rasa curiga mengenai status halal sandwich yang dijual di pasar raya itu.
Ada yang mendakwa ham di negara Barat membawa makna berlainan. Hujah ini diragui kerana terjemahan ham itu kalau digunakan secara tunggal merujuk kepada babi.
Terjemahan daripada pandangan kecerdasan buatan (AI) menyatakan: “Perkataan ham dalam bahasa Melayu membawa maksud daging khinzir yang diawetkan. Ia adalah daging daripada bahagian belakang kaki khinzir yang diproses.”
Sementara kamus dalam talian, Cambridge mendefinisikan ham (kata nama) ialah bahagian atas kaki belakang babi, diasin dan dikeringkan.
Sementara Kamus Dwi Bahasa Oxford Fajar, mendefiniskan ham sebagai daging paha babi yang disalai.
Tidak puas dengan itu saya meneliti lagi satu kamus iaitu The New Lexicon Webster’s Dictionary of the English Language, Encyclopedia Edition (1991) yang menterjemahkan ham sebagai keseluruhan peha babi, diasin dan disalai, dimakan panggang, rebus atau digoreng atau maksud kedua ialah bahagian belakang paha haiwan.
Apapun kebanyakkan kamus mendefinisikan ham sebagai babi, melainkan jika ditambah chicken ham atau beef ham. Ini mungkin akan menukar maksudnya dengan lebih jelas.
Meneliti terjemahan-terjemahan ini, adakah wajar orang Islam tidak mempersoalkan perkara tersebut? Kita telah diperolok dan dipermainkan dengan orang yang berfikiran ‘tidak apa’ dalam isu halal haram.
Isu ini sewajarnya dijelaskan dan dibincangkan oleh semua pihak secara bijaksana dan bukan ‘putar’ seperti mesin basuh. Menteri berkaitan, pemilik pasar raya, bahagian hal ehwal agama sepatutnya berbincang secara telus dan terbuka, bukan mengelak atau menangguhkan isu ini sehingga melarat sebegini.
Berbalik kepada lawak pelawak tadi, ia mendapat komentar biadab dari seorang individu apabila mengatakan, “Semua yang bernama Mohammad perlu ditukar”.
Komen itu mendapat maklum balas ‘panas’ kerana mempermainkan semua orang bernama Mohammad termasuk junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Perkara ini tidak akan terjadi jika tindakan tegas dapat diambil terlebih awal. Saya berharap lawak tidak lucu ini diambil tindakan segera oleh pihak-pihak berkenaan.
Halal haram dalam pemakanan amat penting bagi umat Islam yang prihatin. Ada juga bukan Islam bersikap memahami dan menyatakan seorang Muslim yang baik akan mengambil berat tentang isu halal haram.
NEGARA BARAT LEBIH PRIHATIN
Untuk pengetahuan semua, sijil halal ini bukan sahaja dikeluarkan di Malaysia bahkan di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat (AS). Negara itu mempunyai Majlis Makanan dan Pemakanan Islam Amerika (IFANCA), ditubuhkan sejak 1982 dan bekerja keras untuk mempromosikan makanan serta produk kesihatan yang halal untuk seluruh dunia.
Jika di AS dan negara Eropah lain mengambil berat tentang perkara halal haram yang membabitkan umat Islam, bagaimana ia boleh dianggap remeh di Malaysia oleh sebilangan daripada kita? Selain dari pork (daging khinzir), khinzir juga dikenali sebagai swine, lard, bacon, ham, sow, char siu, dwaeji, bak, boar, porcine, pig, hog, nibuta dan yakibuta.
Bila ia membawa dwi makna maka pihak berkenaan hendaklah menjelaskan kepada orang ramai mengenai perkara ini.
Di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, tindakan menyalahgunakan label logo halal boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5 juta dan bagi kesalahan berikutnya, tidak lebih RM10 juta.
Sabda Nabi Muhammad bermaksud : “Wahai Ka’ab bin ‘Ujroh, sesungguhnya tidaklah daging (anggota badan) yang tumbuh berkembang dari sesuatu yang haram kecuali semua itu lebih berhak dibakar dalam api neraka.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Diharapkan sensitiviti umat Islam dalam isu halal haram ini dapat diberi keutamaan dan dihormati oleh semua pihak. Janganlah isu ini dipermainkan dan diperlekehkan. Menteri- menteri dan pembangkang sewajarnya duduk semeja dan bincangkan perkara ini dengan matang dan bukan menunjukkan siapa gagah atau siapa cerdik dan siapa tidak. Rakyat memperhatikan tingkah laku anda semua.-UTUSAN
PENULIS ialah bekas Peguam Syarie yang pernah bertugas di Brunei Darussalam selama 24 tahun.











