Pekerja mogok, perkhidmatan kereta api di Bangladesh terhenti

Pekerja mogok, perkhidmatan kereta api di Bangladesh terhenti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Perkhidmatan kereta api di Bangladesh terhenti hari ini apabila kakitangan melancarkan mogok tanpa had di seluruh negara bagi menuntut faedah untuk kerja lebih masa, menyebabkan ratusan ribu orang terjejas.

Pertikaian berpanjangan mengenai bayaran elaun kerja lebih masa dan faedah pencen untuk pekerja kereta api menyebabkan kakitangan tidak hadir bertugas, menurut kesatuan sekerja, dengan memberikan pihak berkuasa tempoh sehingga Isnin untuk memenuhi tuntutan mereka.

Mogok tersebut menjejaskan operasi kira-kira 400 kereta api penumpang, termasuk lebih 100 perkhidmatan antara bandar, serta lebih 30 kereta api kargo yang dikendalikan oleh Keretapi Bangladesh.

Perkhidmatan tersebut biasanya membawa kira-kira 250,000 penumpang setiap hari.

“Kami ada tiket kereta api untuk petang ini bagi menghadiri konsert.

“Tetapi, sekarang kami terpaksa membeli pula tiket bas untuk ke sana, jadi akhirnya kami perlu membayar dua kali ganda,” kata seorang penyanyi muzik rakyat dari daerah Kushtia, Reza Fakir.

Kementerian Kereta Api Bangladesh berkata, penumpang dibenarkan menggunakan tiket yang ditempah awal untuk menaiki perkhidmatan bas yang disediakan di beberapa lauan kereta api penting bermula Selasa.

“Kereta Api Bangladesh dan kementerian sangat komited serta sedang berusaha sedaya upaya untuk memenuhi tuntutan pekerja… kami sudah berhubung terus dengan kementerian kewangan,” katanya kementerian dalam kenyataan, sambil merayu kakitangan untuk menamatkan mogok berkenaan.

Kakitangan kereta api di Bangladesh, termasuk pemandu, pembantu pemandu, pengawal dan pemeriksa tiket, sering bekerja lebih masa yang dijadualkan ekoran kekurangan tenaga kerja.

Sebagai balasan, mereka secara tradisinya menerima bayaran tambahan bersama manfaat pencen yang dikira berdasarkan jam kerja lebih masa itu.

Namun, keputusan kontroversi kerajaan pada November 2021 menghapuskan manfaat pencen berdasarkan kerja lebih masa, menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja yang menganggap keputusan tersebut mengancam keselamatan kewangan mereka selepas bersara.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×