Aha! Jangan ingat Cik Bunga tengah nak promosi jualan kain langsir mana-mana kedai pula. Iyalah, mentang-mentanglah tak lama lagi kita nak sambut hari raya, langsir di rumah pun nak ditukar yang baru juga kan?
Tak kisah, kalau ada duit lebih apa salahnya. Tapi apa yang nak diceritakan Cik Bunga kali ini lain sikit. Kain langsir yang ini memang ‘istimewa’.
Mana tidaknya, ada seorang pelakon wanita ini sebelum ini bermati-matian mengaku dirinya tidak punya apa-apa hubungan dengan seorang pelakon lelaki popular tanah air ini.
Si lelaki itu pun sama juga. Katanya tidak ada kaitan dengan pelakon wanita itu kecuali pernah menjadi pasangan dalam drama saja.
Nak dijadikan cerita, ada yang memaklumkan pada Cik Bunga, baru-baru ini si wanita dan si lelaki ini ada membuat video live di Instagram pada waktu berbeza.
Seorang live pada waktu siang dan seorang lagi pada waktu malam. Tapi, suasana dalam rumah itu, dikatakan macam samalah pula.
Paling ketara, kedudukan kerusi dan warna serta jenis kain langsir di rumah ‘mereka’ itu kononnya serupa.
Bila Cik Bunga tengok semula video itu sendiri, eh…eh, memang tak salah mata Cik Bunga ini melihatnya. Memang sama!
Jadi, adakah mereka sebenarnya duduk serumah? Takkanlah kan. Bulan Ramadan penuh keberkatan lagi tau. Seriau kalau fikir.
Kita tak mahulah memfitnah, apatah lagi bulan puasa ini. Tapi bila teringat balik dakwaan yang pernah Cik Bunga dengar daripada seorang teman, kononnya memang pelakon lelaki itu sudah berpindah ke kondominium yang sama dengan pelakon wanita tersebut.
Katanya, walaupun kondominium yang sama, tidak semestinya duduk serumah. Dakwa pelakon lelaki itu sebelum inilah!
Habis, tak akanlah rumah lain-lain, tapi kain langsir dan kerusi pun nak sama wak? Macam mana ramai yang tak curiga.
Secara husnuzon, barangkali masa itu memang ada promosi langsir yang sama di kedai yang sama kot? Agaknyalah.
Ehhh..tapi kan, kalau betul duduk serumah? Takutlah Cik Bunga macam ini. Tiba-tiba rasa nak nyanyi lagu bila Izrail datang memanggil…takut!










