Lukisan mural penyeri rumah konsep gelap

Lukisan mural penyeri rumah konsep gelap

ruang rumah dilatari rona gelap secara keseluruhan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai gemarkan suasana rumah yang cerah dan lapang, namun berlainan pula dengan selera pemilik kediaman yang satu ini.

Keseluruhan ruang kediaman jenis teres berkeluasan sekitar 1,500 kaki persegi ini dilatari dengan rona hitam dengan sedikit perincian elemen kayu.

Pemilik, Dewijunita Natasha berkata, dia dan suami Hasnizal Mohd. Azlan yang bekerja dalam sektor minyak dan gas menggemari konsep penataan rumah berona gelap.

Kata Dewijunita,31, konsep dekorasi yang diketengahkan rumahnya yang dikenali sebagai oui_mason di laman Instagram adalah Moden Kontemporari Gelap.

Konsep itu menggabungkan elemen moden dengan sentuhan kontemporari.

Warna hitam dipilih sebagai warna utama untuk membangkitkan suasana yang elegan, mewah dan dramatik.

Penataan konsep ini memancarkan suasana estetik dramatik.

Bagi memberi sentuhan kelainan, dia juga menerapkan lukisan mural pada dinding yang berfungsi sebagai dinding tumpu pada kediaman berkenaan.

“Ia akan menambah dimensi visual yang menarik dan memikat mata. Konsep ini juga sangat fleksibel. Ia boleh dipadankan dengan pelbagai warna serta tekstur.

“Sebagai contoh, kami telah membuat keputusan untuk menghiasi salah satu dinding dengan lukisan abstrak mural yang agak jarang didapati di kediaman yang lain. Lukisan mural di rumah kami adalah hasil tangan artis dari MKH Studio,” jelasnya.

lukisan mural beri dimensi pada dinding bahagian tangga.

Kelebihan rona hitam adalah ia menjadikan suasana kediaman tampil elegan dan eksklusif dengan kehadiran aksesori yang minimal.

“Seperti yang semua tahu, gaya moden kontemporari terkenal dengan penampilan yang bersih, sederhana dan minimalis.

“Mengadaptasi konsep ini boleh membantu untuk mencipta suasana yang tenang dan tidak berlebihan serta memberikan ruang yang lebih lapang serta teratur,” katanya kepada Seri.

DEKORASI SEDERHANA

Menggunakan warna gelap sebagai asas, Dewijunita yang juga Juru Audit di sebuah syarikat swasta, perlu bijak melakukan susun atur dan penataan dekorasi bagi mengelakkan rumah kelihatan padat dan sesak.

Katanya, dia menerapkan dekorasi yang sederhana untuk memberi ilusi ruang kelihatan luas, terbuka dan tidak berlebihan.

“Pencahayaan sangat penting ketika bermain dengan warna dan ruang gelap. Pemilihan warna lampu sangat memberikan impak yang besar terhadap sesuatu ruang.

“Suka untuk kami ingatkan, warna warm light akan memberikan kesan nyaman pada sesuatu ruang.

“Penggunaan aksesori seperti cermin, tumbuh-tumbuhan serta lukisan akan menambah keindahan dan kesegaran pada ruang,” katanya yang mengambil masa sekitar enam bulan untuk melengkapkan dekorasi.

Dewijunita Natasha dan suami.

Tambahnya, pemilihan warna tambahan bagi ruang gelap adalah sangat penting.

Warna-warna tambahan ini akan menaikkan lagi seri sesebuah ruang selain memberi ilusi kontras dan mencipta kesan visual yang menonjol.

“Sebagai contoh, rumah kami menggunakan warna hitam sebagai warna tema dan warna putih sebagai warna kedua.

“Kami juga menggunakan warna-warna lain seperti warna coklat daripada lantai serta perabot kayu dan warna oren sebagai agen yang menaikan lagi kontras rumah. Kami juga terapkan warna hijau, daripada pokok-pokok hiasan untuk menyerikan lagi ruang rumah kami,” katanya.

Secara keseluruhannya, ruang rumah ini berjaya tampil ekslusif dan tetap kelihatan lapang dengan penataan yang ringkas walaupun dilingkari rona gelap.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×