PETALING JAYA: Jaguh pecut 100 meter negara, Muhammad Azeem Fahmi bakal mengharungi jadual yang padat musim ini dengan lima kejohanan besar menunggu.
Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard bagaimanapun berkata, Azeem perlu mencatatkan keputusan yang ditetapkan sebagai syarat untuk menyertai kejohanan tersebut.
“Azeem kini sedang fokus untuk menyertai Kejohanan Trek dan Balapan NCAA Divisyen 1.
“Selepas itu, ada beberapa potensi kejohanan utama untuk dipertimbangkan seperti Kejohanan Olahraga Asia, Kejohanan Dunia, Sukan Universiti Dunia dan Sukan SEA,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Azeem yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) akan menyertai Kejohanan Trek dan Balapan NCAA Divisyen 1 dijadual berlangsung di Padang Hayward, Eugene pada 11 hingga 14 Jun ini.
Atlet kelahiran Perak itu dijangka menyertai Kejohanan Olahraga Asia di Korea Selatan pada 27 hingga 31 Mei ini, kemudian beraksi di Sukan Universiti Dunia di Berlin pada 16 hingga 27 Julai.
Selepas itu, Azeem dijadual mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Jepun pada 13 hingga 21 September dan Sukan SEA Thailand pada 9 hingga 20 Disember ini.
Muhammad Azeem yang beraksi di pentas Olimpik Paris 2024 menerusi tiket ‘wild card’ dalam acara 100m berjaya mara ke pusingan pertama selepas menduduki tempat kedua dalam saringan satu pusingan kelayakan dengan catatan 10.42 saat (s).
Namun, impian Azeem mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila terkandas pada pusingan pertama selepas menamatkan saingan di tangga tercorot daripada sembilan pelari dalam saringan 2 di Stade de France dengan masa 10.45s. – UTUSAN











