PETALING JAYA: Jaguh karate negara, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik terpaksa melupakan hasrat untuk menyertai Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember ini selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Kemalangan tersebut menyebabkan Arif mengalami patah pada pergelangan kaki kanannya, yang sebelum ini juga belum pulih sepenuhnya akibat kecederaan Ligamen Cruciatum Anterior (ACL).
“Saya perlu menerima hakikat bahawa saya tidak dapat beraksi tahun ini, tetapi sokongan daripada persatuan dan MSN (Majlis Sukan Negara) memberikan saya kekuatan.
“Saya memang tidak boleh beraksi untuk Sukan SEA kerana kecederaan ini. Namun, tahun depan saya akan cuba yang terbaik,” kata Arif.
Insiden malang itu menyaksikan Arif, pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022, bakal disisihkan daripada sebarang kejohanan sepanjang tahun ini.
Walaupun kecewa terlepas Sukan SEA, Arif optimis untuk kembali bersama pasukan kebangsaan tahun depan dengan prestasi lebih cemerlang.
“Terima kasih kepada semua yang terus memberi sokongan, dan saya akan buat yang terbaik apabila kembali nanti,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad, menegaskan bahawa fokus utama kini adalah memastikan proses pemulihan Arif berjalan lancar.
“Arif perlu berehat sepenuhnya agar dia dapat kembali cergas untuk kejohanan besar akan datang, termasuk mempertahankan pingat emasnya,” ujar Nur Azmi. – UTUSAN











