RM356b bina semula Gaza

RM356b bina semula Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Pembinaan semula Semenanjung Gaza selepas konflik berterusan selama kira-kira 15 bulan sejak 7 Oktober 2023 memerlukan kos sekurang-kurangnya RM356 bilion (AS$80 bilion).

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, semua infrastruktur di Gaza, musnah sepenuhnya dan usaha untuk membina semula wilayah itu perlu dimulakan dari asas.

Beliau berkata, jika dunia benar-benar mengambil berat tentang rakyat Gaza, mereka harus bersedia membantu Pales­tin membina semula wilayah ber­kenaan.

“Kos diperlukan untuk pembinaan semula ini bukan hanya melibatkan infrastruktur tetapi turut membabitkan untuk memulihkan kehidupan rakyat Gaza yang terjejas teruk,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan Malaysia yang sekian lama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin akan bersama-sama membantu dalam pembinaan semula Gaza.

Anwar dipetik sebagai berkata, sesuatu yang baik bahawa Jepun telah mengundang Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama Persida­ngan mengenai Kerjasama antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) seterusnya memfokuskan pembangunan semula Gaza.

Walid Abu Ali berkata, cabaran utama dalam usaha mentadbir semula tanah Palestin adalah untuk mewujudkan gencatan senjata yang kekal.

“Cabaran besar lain yang perlu dihadapi adalah untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan termasuk memberi keperluan harian merangkumi makanan, minuman dan tempat tinggal kerana semua infrastruktur di Gaza telah musnah,” ujarnya.

Mengenai sejauh mana gencatan senjata ini akan bertahan, beliau berkata, soalan berkenaan perlu ditujukan kepada Israel kerana mereka adalah pihak yang melanggar perjanjian yang telah dipersetujui.

“Pelaksanaan gencatan senjata ini diragui terutamanya apa­bila sejarah menunjukkan bahawa Israel sering melanggar perjanjian-perjanjian yang telah dibuat.

“Banyak peperangan dilancarkan terhadap Gaza dan rakyat Palestin sejak 1948 dan dalam setiap peperangan ini, Israel yang melanggar pelbagai jenis perjanjian.

“Apakah tindakan yang akan diambil oleh komuniti antarabangsa dan pihak terlibat dalam perjanjian gencatan senjata tersebut? Adakah mereka mempunyai sebarang syarat terhadap Israel dalam hal ini?

“Sekiranya gencatan senjata itu dilanggar lagi, kami mengharapkan akan ada tindakan yang dikenakan kepada rejim Zionis itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×