PETALING JAYA: Cadangan mewajibkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing di Malaysia dijangka memberikan bebanan besar kepada majikan terutama dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA), Datuk Foo Yong Hooi berkata, cadangan tersebut tidak wajar dilaksanakan kerana akan menambah beban kewangan majikan.
Menurutnya, sektor ini sudah berhadapan dengan pelbagai cabaran kewangan yang akan semakin terbeban dengan kos tambahan lebih tinggi sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan.
“Banyak syarikat di sektor PKS sudah berhadapan dengan tekanan kewangan terutama selepas pengenalan gaji minimum baharu yang dinaikkan dari RM1,500 kepada RM1,700.
“Majikan akan menghadapi kesulitan menanggung beban caruman KWSP yang mencecah 13 peratus untuk pekerja tempatan dan jika dilaksanakan untuk pekerja asing, ia akan menambah kos yang perlu ditanggung.
“Mereka juga dijangka perlu membayar hampir RM500 setiap bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini semalam melaporkan pekerja asing di negara ini dianggarkan membawa keluar wang mencecah sehingga RM70 bilion setahun.
Yong Hooi berkata, caruman tersebut akan menjadi seperti pinjaman berfaedah tinggi kerana meskipun dana dikutip daripada pekerja asing, KWSP tetap diwajibkan membayar dividen yang tinggi kepada mereka.
“Jika kerajaan mahu meneruskan cadangan ini, apakah peratusan caruman untuk pekerja asing perlu dikurangkan berbanding pekerja tempatan? Jika kadar caruman lebih rendah, lebih baik tidak dilaksanakan kerana tidak memberi manfaat,” katanya.
Katanya, meskipun kerajaan telah memperkenalkan caruman sementara untuk mengutip sumbangan KWSP, dana yang dikumpul bukanlah milik KWSP sepenuhnya.
Sebaliknya ia adalah wang milik pekerja itu sendiri, kerajaan dan KWSP perlu membayar dividen kepada pekerja.
“Caruman sementara ini akan menyebabkan KWSP perlu membayar dividen sebanyak lima peratus kepada pekerja.
“Hakikatnya, ketika ini, tiada keperluan untuk caruman tersebut. Walaupun ia dapat menambah dana KWSP, ia hanya bersifat sementara,” katanya.
Yong Hooi berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan kesulitan yang dihadapi oleh pekerja asing apabila mereka ingin mengeluarkan wang caruman mereka selepas pulang ke negara asal.
Katanya, pekerja asing mungkin terpaksa datang semula ke Malaysia untuk mengeluarkan wang tersebut yang boleh menjadi isu besar terutama jika majikan ingin menghantar mereka pulang dengan segera.-UTUSAN











