Di kala rakan sebaya yang lain gemar menghabiskan masa dengan hobi lebih feminin, lain pula bagi wanita berusia 24 tahun ini.
Izryana Shazwany Azri lebih gemar meredah ombak laut demi melepas ‘gian’ sebagai kaki pancing.
Wanita ini mula memancing sejak kecil dengan menjadikan kawasan bendang, paya dan tepi laut sebagai lokasi permulaan mendapatkan hasil walaupun tanpa menggunakan bot.
Selepas itu, dia mula mengembangkan minatnya dengan memancing di laut bersama adik.
Menariknya, wanita asal Kampung Mata Air, Langkawi ini tidak pernah ‘kumpau’ (pulang dengan tangan kosong) setiap kali keluar memancing di laut.
“Alhamdulillah, setakat ini tidak pernah kumpau lagi kerana saya dan adik akan berusaha mencari kawasan yang ada ikan.
“Setakat ini, saya dan adik sentiasa berjaya membawa pulang ikan untuk keluarga di rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Izryana tidak hanya menjadikan memancing sebagai hobi tetapi juga salah satu sumber membantu keluarga apabila hasil tangkapan menyumbang kepada keperluan makanan di rumah.
Walaupun tangannya pernah terluka sehingga berdarah akibat ingin menahan tarikan oleh seekor ikan, Izryana sanggup menahan rasa sakit itu demi mendapatkan hasil untuk dibawa pulang.
Bercakap mengenai hasil tangkapan pula, ikan yang paling bernilai tinggi pernah didapati ialah ikan tenggiri, selain berjaya mendapat ikan jenahak seberat lima kilogram, siakap dan repuh.
“Setiap ikan ada nilai tersendiri dan biasanya memang saya akan dapat membawa pulangan lumayan. Hasil tangkapan yang segar juga turut diberi kepada saudara-mara dan keluarga di rumah,” katanya.

HADIAH PANCING
Anak sulung daripada empat adik-beradik ini mula minat memancing selepas berjaya ‘menarik’ ikan hasil pemberian pancing adiknya.
“Memancing sangat menyeronokkan lebih-lebih lagi saat kita teruja sebelum mengangkat joran untuk melihat jenis ikan yang dapat,” katanya.
Izryana yang terkenal dengan julukan ‘Gadis Laut’ dalam kalangan warganet, menggemari suasana laut yang disifatkan memberi ketenangan serta pemandangan biru yang luas terbentang.
Cabaran seperti cuaca, jenis ikan dan aspek mistik di dasar laut menjadi daya tarikan yang membuatkan dirinya lebih menghargai keindahan alam.
“Bagi saya, detik-detik seperti matahari terbit dan terbenam di lautan juga merupakan momen yang sangat memukau dan memberi rasa syukur atas keajaiban ciptaan Tuhan,” katanya.
Tambahnya yang juga kakak kepada seorang atlet pelayaran negara, pengalaman paling mencabar ketika berhadapan dengan ikan hiu bintik besar di tengah laut, yang saiznya hampir sebesar bot
yang dinaiki.
“Ikan itu secara tiba-tiba lalu di sebelah bot. Bagaimanapun, adik saya dengan segera menenangkan keadaan itu.
“Walaupun situasi tersebut sangat menakutkan, pengalaman itu akan menjadi kenangan paling berharga,” katanya yang merupakan graduan lepasan Universiti Malaya (UM).
Dia juga pernah cuba menggunakan peralatan asas seperti tali tanpa joran dan tetap berjaya menangkap ikan.
“Memancing sebenarnya mempunyai pelbagai alatan dan teknik yang harus dikuasai jika benar-benar ingin mendapatkan hasil laut yang lumayan.
“Ada banyak teknik seperti bottom fishing, jigging atau trolling tetapi perlu disesuaikan dengan jenis ikan dan keadaan air semasa memancing,” katanya.
KONGSI HOBI
Izryana yang juga seorang pempengaruh TikTok sering berkongsi hobi memancing untuk memberi inspirasi kepada golongan muda.
Harapannya, untuk mengajak rakan sebaya melakukan aktiviti bermanfaat daripada terlibat dengan gejala tidak sihat.
“Melalui hobi ini, saya belajar erti tanggungjawab membantu keluarga seperti memberi hasil tangkapan kepada ibu bapa, saudara-mara dan penduduk kampung.
“Orang kampung ramai puji usaha saya dan adik yang masih muda tetapi sudah membantu keluarga dan mereka anggap boleh jadi contoh kepada anak muda,” ujarnya.
Tambahnya, wanita jangan takut mencuba aktiviti memancing.
“Kalau takut atau tidak yakin, sertai kumpulan peminat pancing atau rancang aktiviti bersama keluarga.
“Keselamatan adalah keutamaan. Jika rasa bahaya, jangan memaksa diri. Tapi, rebut peluang melakukan pelbagai aktiviti semasa muda kerana masa, tenaga dan kesihatan adalah terhad,” tegasnya.










