KUALA LUMPUR: Usaha Malaysia meningkatkan tahap kemampanan industri sawit secara keseluruhan, terutama skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi menjamin pengeluaran minyak sawit mampan mendapat pengiktirafan Kesatuan Eropah (EU).
Hal itu dimaklumkan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Pesuruhjaya Alam Sekitar, Ketahanan Air dan Ekonomi Pekeliling Berdaya Saing EU, Jessika Roswall di Belgium.
Roswall adalah individu yang bertanggungjawab ke atas penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang sedia ada EU berkaitan alam sekitar seperti Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).
Dalam pertemuan itu, Johari berkata, beliau turut berkongsi perkembangan semasa mengenai industri minyak sawit Malaysia serta komitmen negara terhadap agenda kemampanan dunia.
“Roswall mengiktiraf usaha industri minyak sawit Malaysia dalam meningkatkan tahap kemampanan industri sawit secara keseluruhan, terutama skim MSPO dalam menjamin pengeluaran minyak sawit mampan.
“Malaysia juga menjemput Roswall membuat lawatan ke Malaysia untuk melihat sendiri operasi perladangan dan pensijilan kemampanan industri sawit negara,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa ketika ini mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk lawatan kerja dua hari ke Belgium serta bertemu pemimpin EU.
Pada Julai 2024. dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, beliau berkata, Malaysia berusaha mempertahankan kepentingan industri minyak sawit dalam menghadapi cabaran EU.
“Ia melalui usaha di peringkat domestik dan antarabangsa serta penekanan kepada amalan penanaman sawit secara mampan dan pematuhan terhadap standard kelestarian yang diiktiraf.
“Pelbagai usaha dilaksanakan kementerian untuk meyakinkan dan memastikan bahawa pensijilan MSPO dapat memenuhi perundangan EUDR supaya minyak sawit Malaysia tidak didiskriminasi di pasaran Eropah dan dunia,” jawabnya. – UTUSAN











