Selangor sasar 8 juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025 - Utusan Malaysia

Selangor sasar 8 juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025

NG Suee Lim (empat dari kanan) bersama delegasi antarabangsa dan tempatan semasa Majlis Makan Tengah Hari Pelancongan Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor menyasarkan menarik lapan juta pelancong dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM 11.7 bilion sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Negeri itu sedang menggiatkan usaha mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan terkemuka di ASEAN dengan menyertai Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025 untuk mempromosikan kempen itu.

Di bawah tema ‘Surprising Selangor’ kempen ini mempamerkan tarikan yang kaya di Selangor, seperti warisan budaya dan ekopelancongan, taman tema dan gastronomi.

Destinasi utama yang ditampilkan di ATF 2025 termasuk Gombak Hulu Langat Geopark, Taman Tema Air SplashMania, Sawah Padi Sekinchan, Sunway Resort Hotel, Eastin Hotel, Nazbell Cottage dan Selangor Fruit Valley.

EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, ASEAN kekal penting bagi pertumbuhan pelancongan Negeri Selangor.

“Pada 2023, Selangor telah menerima lebih 3.2 juta pelancong melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan 55,079 lagi melalui Subang Skypark.

“Ini menandakan peningkatan masing-masing sebanyak 220 peratus dan 165 peratus berbanding 2022. Daripada jumlah ini, 12.82 peratus adalah dari negara ASEAN.

“Sempena pelancaran Tahun Melawat Selangor 2025, kerajaan Negeri menjemput agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan rakan kongsi media dari seluruh ASEAN untuk bekerjasama dengan kami.

“Dengan kerjasama ini, kerajaan Negeri bersama rakan strategik yang lain mampu mempamerkan kepelbagaian tawaran Selangor melalui pakej pelancongan yang menarik”, katanya dalam kenyataan.

ATF 2025 merupakan platform yang terbaik bagi mengukuhkan keudukan Negeri Selangor di pasaran pelancongan global.

Acara yang dihadiri oleh delegasi dari negara ASEAN seperti Malaysia, Kemboja, Indonesia, Brunei, Singapura, Myanmar, Filipina, Thailand, Laos PDR dan Vietnam, dijangka menarik lebih 1,000 pembeli dan penjual.

Tourism Selangor juga menjangkakan hasil jualan yang tinggi semasa sesi TRAVEX. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×