BAHAGIA namun derita dalam senyap. Ramai berpura-pura gembira dengan perkahwinan dibina, sedangkan menanggung bebanan yang tidak mampu diluahkan.
Ahli Psikologi yang juga Penolong Profesor, Universiti UCSI, Dr. Zhooriyati Sehu Mohamad berkata, ramai wanita takut mengambil keputusan melangkah keluar daripada perkahwinan yang tidak sihat atau toksik kerana takut dengan gelaran janda.
Katanya, stigma masyarakat terhadap status diri itu amat menakutkan bagi sesetengah wanita sehingga mereka terpaksa bertahan dalam perkahwinan yang berselimut penderaan sama ada secara mental atau fizikal.
“Kebanyakan wanita khususnya bangsa Melayu takut bertindak keluar daripada perkahwinan kerana tidak mahu dipandang serong oleh orang lain atau memang tidak tahu bagaimana untuk keluar daripada perkahwinan mereka yang bermasalah,” katanya.
Zhooriyati yang juga Ketua Jabatan Psikologi dari Fakulti Sains Sosial dan Seni Liberal Universiti UCSI berkata, menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, tanpa sebarang sumber pendapatan, menyebabkan mereka tidak ada pilihan selain daripada memendam rasa.
“Situasi itu boleh memakan diri hingga menjurus ke arah kemurungan. Wanita ini sudah terlalu bergantung terhadap suami dan lama kelamaan kurang berkeyakinan untuk menguruskan kehidupan sendiri jika berpisah dengan suami.
“Memendam perasaan ini tidak baik yang mana ia akan membawa kepada pelbagai gangguan masalah kesihatan mental dan fizikal. Lebih banyak perkara yang ditanggung, lebih banyak tekanan kepada mental yang akhirnya boleh mengakibatkan depresi,” katanya.
LUAH PERASAAN
Dalam menangani depresi, setiap wanita perlu belajar berkongsi perasaan dengan individu yang rapat bagi membina gaya hidup yang lebih sihat.
Kata Zhooriyati, daripada perspektif psikologi, individu harus meluahkan perasaan kepada orang yang rapat dan boleh dipercayai, tidak kiralah sama ada rasa puas hati atau sebaliknya.
“Orang yang meluahkan perasaan ini di dapati hidup lebih lama, mempunyai hubungan sosial positif, kurang masalah kesihatan dan hidup lebih gembira berbanding individu yang tidak meluahkan dan hanya memendam perasaan,” katanya.
Tambah Zhooriyati, individu yang tidak meluahkan perasaan akan mempunyai pemikiran pesimis yang boleh menyebabkan mereka kurang yakin, sering syak wasangka terhadap individu lain, kerap marah malah akan menjejaskan prestasi kerja serta mempunyai lebih banyak hubungan yang berbentuk negatif.
Ujarnya, perkahwinan yang sihat adalah perkahwinan yang mempunyai persefahaman dan kepercayaan antara satu sama lain yang mana komunikasi menjadi medium utama yang memainkan peranan penting.
“Untuk mencapai perkahwinan yang membahagiakan, pasangan haruslah meluangkan masa bersama dan berkongsi cerita.
“Jika ada masalah berbincang tanpa ada pihak ketiga seperti ibu bapa atau ahli keluarga yang lain supaya dapat meluahkan perasaan dan bincang langkah yang boleh diambil untuk atasi masalah itu.
“Seterusnya, beri masa dan ruang serta sokongan moral kepada pasangan untuk berubah dan atasi tekanan,” katanya.
Buang rasa malu jumpa kaunselor dapat nasihat
Zhooriyati menyarankan pasangan berjumpa kaunselor jika masalah rumah tangga tidak dapat diselesaikan selepas perbincangan bersama sudah dilakukan.
“Tidak perlu segan sebab ramai rakyat Malaysia terutamanya Melayu malu berjumpa kaunselor.
“Jika tak dapat diselesaikan, barulah ambil langkah untuk keluar daripada perkahwinan toksik itu,” katanya.
Katanya, rasa malu bertemu kaunselor berlaku susulan pelbagai tanggapan kurang tepat yang sudah terlalu menebal dalam kalangan masyarakat terhadap perkataan kaunseling.
“Ramai juga yang ada persepsi apabila pergi jumpa kaunselor, bermaksud pasangan mempunyai masalah besar hingga menyebabkan rasa malu untuk berjumpa kaunselor.
“Ada kes pula, apabila masuk ke pejabat agama untuk berjumpa kaunselor bagi meminta nasihat sahaja, tetapi mata orang luar yang memandang pasangan ketika masuk ke pejabat agama itu amat menakutkan, seperti mereka buat salah besar.
“Jadi, kita perlu ubah persepsi atau tanggapan sebegitu,” katanya.











