PETALING JAYA: Ketua jurulatih Sabah FC, Martin Stano menggesa agar pemainnya memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila melayan kunjungan Sri Pahang FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, hari ini.
Jurulatih dari Slovakia itu berkata, pasukannya perlu mendapatkan keputusan positif bagi memudahkan laluan mereka ke final malah turut menggesa agar penyokong memenuhi stadium bagi memberikan sokongan.
“Persiapan kami menentang Sri Pahang berjalan seperti biasa malah pemain baru pulih daripada kekalahan kepada JDT (Johor Darul Ta’zim) dalam aksi liga tempoh hari. Ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan daripada perlawanan tersebut.
“Sudah tentu kami gembira apabila layak ke separuh akhir kejohanan ini malah bermain di laman sendiri saya amat berharap dapat melihat stadium dipenuhi dengan kehadiran penyokong kerana aksi ini amat penting buat pasukan.
“Kami perlu mendapatkan keputusan positif kerana kami mahu membawa bekalan selesa ke tempat lawan pada aksi timbal balik nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Stano berkata, hanya Gary Steven Robbat tidak dapat diturunkan malah pemain itu bakal diketepikan lebih daripada sebulan selepas mengalami kecederaan di belakang badan.
Mengulas lanjut, Stano mengakui perlu berwaspada dengan ancaman Sri Pahang FC yang dibarisi pemain berkualiti seperti Kpah Sherman dan Sergio Aguero.
“Bagaimanapun, kita juga ada barisan pemain yang berkualiti. Piala Malaysia sukar untuk dijangka namun sudah tentu kami akan berikan 100 peratus pada perlawanan ini,” katanya.
Bagi aksi separuh akhir kedua kejohanan akan diadakan di Temerloh pada 2 Februari ini. – UTUSAN











