Angela, ratu matematik Ghana

Angela, ratu matematik Ghana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIGELAR sebagai ratu matematik di Ghana, Dr. Angela Tabiri merupakan rakyat Afrika pertama yang memenangi pertandingan The Big Internet Math Off, tahun lalu.

Menganggap cabaran dalam menyelesaikan teka-teki dan persoalan matematik sebagai keseronokan, wanita berusia 35 tahun ini berharap kemenangannya akan mencetus inspirasi kepada lebih ramai wanita tempatan untuk meneroka dunia matematik.

Pertandingan itu adalah acara undian awam yang dimulakan pada 2018 oleh blog, The Aperiodical, dengan 16 pakar dijemput bersaing merebut gelaran ‘ahli matematik paling menarik dunia’.

Pemenang pertama ialah Dr. Nira Chamberlain, ahli matematik kulit hitam pertama yang dimasukkan ke dalam buku rujukan British, Who’s Who serta naib presiden badan profesional, Institut Matematik dan Aplikasi.

Kini, Angela pula mencipta sejarah sebagai rakyat Afrika pertama yang memenangi pertandingan tersebut.

 

MATEMATIK ‘SUBJEK LELAKI’
Kepakaran Angela adalah algebra kuantum atau bukan komutatif, yang menjadi tumpuan penyelidikannya di cawangan Institut Sains Matematik Afrika (AIMS) di Ghana.

AIMS bermula di Afrika Selatan sebelum berkembang ke Ghana, Senegal, Cameroon dan Rwanda, yang bermatlamat menyediakan latihan serta penyelidikan pascasiswazah dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Menurut Angela, jumlah pelajar perempuan dan lelaki yang mempelajari matematik di peringkat sekolah menengah adalah hampir seimbang, namun berkurang di universiti.

Ini kerana, pelajar perempuan sering menganggap yang matematik ialah ‘subjek lelaki’ dan terdapat sedikit model peranan wanita dalam bidang itu.

Beliau ingin mengubah perspektif tersebut, walaupun mengakui perjalanannya tidak mudah.

Dibesarkan di Ashaiman, kawasan padat penduduk dan miskin di Tema, hab perindustrian dan pelabuhan yang terletak kira-kira sejam ke timur ibu negara, Accra.

Memiliki keluarga besar dengan lima adik-beradik perempuan, Angela sering mencari ketenangan di pusat komuniti belia tempatan untuk belajar.

Beliau ingin mengikut jejak langkah dua kakaknya yang mengambil bidang pentadbiran perniagaan di universiti.

Namun, keputusan peperiksaannya tidak cukup tinggi, maka beliau diterima untuk mengikuti kursus matematik dan ekonomi.

“Ia adalah hikmah yang tersembunyi. Nombor dan teka-teki memang minat saya, tetapi tidak pernah terfikir yang kerjaya dalam bidang matematik sesuai untuk saya,” katanya.

Pada 2015, Angela mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) di Universiti Glasgow, Scotland.

JELAJAH KUANTUM
Angela kini berusaha membantu wanita Afrika daripada latar belakang kurang bernasib baik untuk mengejar impian mereka dalam bidang matematik melalui pertubuhan, FemAfricMaths.

Beliau bersama sukarelawan lain, memberikan kelas kepada pelajar sekolah menengah sama ada secara bersemuka atau dalam talian.

Angela juga aktif di media sosial dengan berkongsi wawancara bersama ahli matematik wanita terkemuka dari seluruh dunia.

Selain itu, beliau sangat berminat dengan potensi sains dan teknologi kuantum, yang bergantung pada asas matematik.

Beliau berbangga kerana Ghana, dengan sokongan Mexico, mengetuai cadangan supaya 2025 diisytiharkan Tahun Antarabangsa Sains dan Teknologi Kuantum oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa

Bersatu (PBB), sempena ulang tahun ke-100 penemuan mekanik kuantum moden.

Beliau bercita-cita mahu menganjurkan ‘jelajah kuantum’ sebagai langkah awal memperkenalkan sains kuantum di peringkat awal persekolahan.

“Kita mahu anak muda mula mengembangkan minat dan membina kemahiran penting sejak peringkat sekolah asas,” katanya.

Bekerjasama dengan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (Unesco), Angela juga akan menganjurkan Quantum Hackathon selama seminggu pada Julai di Aims Ghana, melibatkan kira-kira 40 pelajar pascasiswazah dari pelbagai Afrika.

“Kita mahu mereka menggunakan kemahiran kuantum untuk menyelesaikan cabaran dihadapi, masalah kehidupan sebenar. Penting untuk kita mempersiapkan belia bagi revolusi besar seterusnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×