Inovasi pensyarah UiTM hasilkan sos nanas Josapine - Utusan Malaysia

Inovasi pensyarah UiTM hasilkan sos nanas Josapine

AZIZAH (kiri), Siti Roha (tengah) bersama Fadhilah menunjukkan sos cili nanas Paina.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NANAS merupakan antara tanaman tropika yang menjadi penyumbang kepada komoditi negara apabila pada tahun 2019, eksport produk nanas negara meningkat 60 peratus kepada RM491 juta berbanding RM343 juta pada tahun sebelumnya.

Pada peringkat dunia, Malaysia berada di kedudukan ke-19 sebagai pengeluar buah nanas. Antara lokasi popular tanamannya ialah Johor, Selangor dan Sarawak manakala variasi nanas yang menjadi pilihan adalah Gandol, Mauritius (Moris), N36 dan Josapine (sering kali digelar Josephine).

Nanas Josapine hasil kacukan oleh pegawai penyelidik tempatan di antara nanas Sarawak dengan nanas Johor (Jo-Johor, Sa-Sarawak dan Pine-Nanas).

PERALATAN viscometer digunakan bagi menganalisis kepekatan sos yang terhasil.

Selain boleh dimakan sebagai pencuci mulut dan dalam masakan mentah dibuat jelatah, nanas juga dijadikan air, minuman dalam tin serta biskut.

Namun, bagi tiga pensyarah muda dari Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam iaitu Dr. Azizah Dr. Fadhilah Jailani dan Dr. Siti Roha Ab. Mutalib, mereka memilih untuk menghasilkan formula sos cili nanas daripada buah nanas jenis Josapine.

Ia sebagai variasi pilihan sos rakyat Malaysia memandangkan buah itu sendiri merupakan sumber vitamin C yang baik dan boleh dimakan mentah atau digunakan dalam masakan.

Selain itu, nanas juga mengandungi asid sitrik yang boleh menghilangkan lemak dan menguruskan badan serta mempunyai khasiat yang penting seperti mineral, serat dan enzim yang bagus untuk membantu mengekalkan berat badan ideal.

Menurut Dr. Fadhilah, rasa sos cili nanas di bawah jenama Paina itu mempunyai keunikan tersendiri apabila ia bukan sahaja ada rasa pedas daripada cili dan masam serta manis daripada nanas tetapi pengguna dapat melihat tekstur buah nanas yang mengandungi serat.

“Buah nanas juga mudah didapati. Untuk kajian ini, kami memilih nanas jenis Josapine dengan indeks kematangan 4 dan 5 kerana ia tahan suhu tinggi,” katanya. Kajian berkenaan bermula dengan aktiviti program pelajar di bawah Persatuan Teknologi Makanan (Pertema) pada 2017.

“Bagaimanapun, tahun lalu, kami bertiga membuat penambahbaikan formulasi, seterusnya bekerjasama dengan Business Innovation & Technology Commercialization Centre (Bitcom), UiTM untuk mengkomersilkannya,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Projek berkenaan dijalankan bersama tiga orang pelajar latihan industri dibawah program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Sains dan Teknologi Makanan bagi menghasilkan antara 60 hingga 70 botol sos cili nanas Paina sehari.

Pada Disember 2020, pihaknya mula mengkomersilkan produk dengan menjual kira-kira 400 botol sos cili nanas Paina 200 gram pada harga RM7 secara internal dalam kalangan staf UiTM. Katanya, hasil maklum balas yang diterima, rata-rata pelanggan mereka berpuas hati dan seronok apabila mencuba sos tersebut kerana ia benar-benar ada rasa nanas.

Katanya, selain boleh dijadikan sos pencicah, ia turut boleh digunakan memasak sos ikan tiga rasa, sambal ikan atau ayam dan banyak lagi.

“Proses penghasilan sos cili nanas ini bermula dengan pemilihan buah, dibersihkan dan di campur bersama bahan lain.

“Kami turut memasukkan bahan-bahan lain tetapi disebabkan rasa nanas itu sendiri sudah manis, maka kami mengurangkan kandungan gula dan garam selain tidak menggunakan bahan monosodium glutamate (MSG) dalam pembuatannya,” ujarnya.

Dr. Siti Roha menambah, sebagai perancangan masa hadapan, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana pemain industri sama ada yang berskala besar mahupun usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berminat bagi membeli lesen harta intelek (IP) kajian tersebut. Mereka akan membantu pihak terbabit secara langkah demi langkah dengan memberikan konsultasi bagi menjaga kualiti produk.

“Cabaran kami hadapi ialah apabila pelanggan suka, kami pula tidak mempunyai stok mencukupi,” katanya pula.

Bantuan dan kerjasama diberikan Bitcom dalam urusan penjenamaan dan pemasaran, Fadhilah menambah, mereka percaya bukan sahaja keenakan sos cili nanas Paina itu dapat dinikmati oleh orang ramai malah mereka turut mendapat khasiat buat nanas itu sendiri.

“Menerusi bantuan yang diberikan oleh Bitcom untuk urusan seperti penjenamaan dan pemasaran, kami percaya para pensyarah dan juga pelajar dapat memberikan tumpuan dalam kualiti dan pemprosesan untuk produk ini.

“Kami mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kajian tetapi tidak mempunyai tenaga yang mencukupi untuk pembuatannya,” katanya.

Mereka optimis bahawa sekiranya produk berkenaan dikomersilkan, ia dapat dinikmati oleh orang ramai. Pada masa sama dapat manfaat khasiat daripada pembuatannya kerana menggunakan buah nanas sebenar,” kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×