PETALING JAYA: Pas berdepan cabaran apabila imej parti itu bersifat terlalu konservatif dan kesukaran mendapat sokongan merentas kaum serta agama untuk menjadi kerajaan.
Felo Penyelidik Bersekutu Institusi Analisis Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhd. Afifi Abdul Razak berkata, terdapat keperluan untuk Pas mengimbangi ideologi parti dengan realiti Malaysia berbilang kaum.
“Daripada segi penerimaan rakyat, Pas menghadapi beberapa kekangan utama. Keraguan masyarakat bukan Islam terhadap agenda parti dan kebimbangan terhadap dasar-dasar konservatif menjadi halangan besar.
“Walau bagaimanapun, rekod pentadbiran di peringkat negeri boleh menjadi faktor keyakinan. Pendekatan yang lebih inklusif dalam isu-isu nasional dan kemampuan menunjukkan prestasi dalam portfolio kerajaan juga boleh meningkatkan penerimaan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti itu mempunyai ramai pemimpin berkaliber untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Jelas Mohd. Amar, Pas juga tidak ketandusan pemimpin untuk menjawat jawatan nombor satu itu walaupun timbul pelbagai persepsi terhadap mereka.
Mengulas lanjut, Muhd. Afifi berkata, pemimpin muda Pas perlu mengambil beberapa langkah strategik untuk menonjolkan diri bagi membina keyakinan seluruh masyarakat terhadap keupayaan parti itu mentadbir negara berbilang kaum dan agama.
Jelasnya, mereka perlu meningkatkan kompetensi dengan memperdalam pemahaman isu-isu nasional dan global serta mengukuhkan kemahiran pentadbiran dan dasar awam.
“Pada masa sama, adalah penting untuk membina imej melalui keupayaan mentadbir secara profesional dan membina rekod perkhidmatan yang cemerlang,” katanya.-UTUSAN










