Bukan hanya mengira, menulis dan membaca di sekolah

Bukan hanya mengira, menulis dan membaca di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN kerajaan untuk mewajibkan pendidikan menengah bagi mengangkat dasar dan meningkatkan kualiti pendidikan negara wajar disokong.

Sebabnya ada banyak dengan satu daripadanya, kita bukan lagi berada di zaman dahulu yang hanya mahu anak-anak setakat lulus sekolah rendah, tidak masuk sekolah menengah pun tidak mengapa.

Kita bukan lagi ibu bapa yang hanya mahu anak-anak setakat pandai membaca, mengira dan menulis yang paling asas.

Kita bukan lagi ibu bapa yang asyik cakap kepada anak-anak ‘buat apa belajar tinggi-tinggi, lepas tu susah dapat kerja, kerja pula gaji tak sepadan’.

Tidak kisah lulus SPM atau tidak, asalkan belajar sampai sekolah menengah. Titik. Mahu sambung atau tidak ke pengajian tinggi, terpulang. Jika berkemam­puan dan berkelayakan, apa salahnya? Jika tidak pun, peluang sentiasa ada sekiranya berusaha.

Pekakkan telinga jika ada ibu bapa yang menyalak ‘buat apa pergi sekolah kalau dalam kelas pun tidak beri perhatian, lebih baik berhenti dan pergi cari kerja, ada juga duit buat belanja’.

Kita sudah masuk tahun 2025, takkan kita mahu anak-anak kita hanya tahu mengira, menulis dan membaca yang paling asas? Tidakkah kita mahu anak kita seiring dengan peredaran masa yang ketika ini me­nyaksikan pelbagai jenis teknologi dan kecanggihan diwujudkan?

Memang betul, melalui mengira, menulis dan membaca itulah kita kenali dunia tapi ilmu bukan hanya setakat itu sahaja. Ilmu ini luas dan bak peribahasa, kalau mahu menuntut ilmu, biar sampai ke China.

Sekolah juga bukan hanya tempat untuk belajar pelbagai subjek, bahkan di sekolahlah kita belajar mengenali diri sendiri, belajar kenali hati budi kawan-kawan, para cikgu dan di sekolah jugalah kita tahu apa kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri.

Jadi, tanya pada diri sendiri, cukupkah membiarkan anak-anak dengan hanya pendidikan di sekolah rendah dan jika masuk sekolah menengah pun, tidak perlu habiskan sehingga SPM.

Memang ada anak-anak yang terpengaruh dengan rakan-rakan untuk berhenti sekerat jalan sewaktu di sekolah menengah dan beri alasan mahu cari kerja.

Tapi, sudah cukupkah ilmu yang ada untuk hadapi dunia luar yang lagi rakus, bahkan tidak dapat dijangka?

Dengan keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup ketika ini, wajar untuk sifatkan hidup kini ‘keras’ dan jika tidak betul-betul, kita juga boleh merempat di bawah jambatan, di kaki lima tidur beralaskan kepingan kotak.

Orang yang ada banyak duit pun boleh tersungkur, apatah lagi golongan yang tidak mempunyai ilmu? Biar tiada duit yang banyak, asalkan ada ilmu penuh di dada.

Melalui ilmu itu, sedikit demi sedikit kita gunakan untuk cari rezeki yang luas. Ada sebab mengapa Allah SWT jadikan manusia ini berakal. Gunakan sebaik mungkin dengan mencari ilmu. – UTUSAN

Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

×