Rosita Missoni, pelopor fesyen ‘knitwear’ ikonik

Rosita Missoni, pelopor fesyen ‘knitwear’ ikonik

FILE - Rosita Missoni poses for photographers before the Missoni women's Spring/Summer 2018/19 fashion collection, presented in Milan, Italy, Sept. 23, 2017. (AP Photo/Luca Bruno, File)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA fesyen antarabangsa kehilangan seorang ikon berpengaruh, Rosita Missoni, pengasas bersama jenama Missoni yang terkenal dengan rekaan knitwear penuh warna dan corak ikonik.

Rosita merupakan nama besar dalam dunia fesyen kerana merevolusikan pakaian knitwear dengan corak dan jalur geometri, termasuk zigzag, selain permainan warna yang menjadikannya berbeza daripada pesaing lain.

Dilahirkan dalam keluarga yang berkecimpung dengan industri tekstil, Rosita bersama suami, Ottavio (Tai) Missoni, memulakan jenama mereka sebagai sebuah perniagaan kecil di Gallarate, Itali pada 1953.

Gabungan kepakaran dan kemahiran pasangan ini berjaya membina sebuah empayar fesyen Itali yang kini dikenali di seluruh dunia.

Kecemerlangan mereka tidak hanya terletak pada estetika yang memukau, tetapi juga keberanian Rosita dalam mencipta identiti tersendiri, melangkaui batas konvensional fesyen pada era tersebut.

Sebagai pengasas bersama jenama Missoni, beliau berjaya mengubah cara dunia melihat fabrik knitwear dengan rekaan unik dan inovatif.

PERMULAAN JENAMA MISSONI
Rosita yang dilahirkan pada 1931 di bandar Golasecca, Lombardy bertemu dengan Ottavio semasa bertanding dalam acara 400 meter lari berpagar di Sukan Olimpik 1948.

Pada masa itu, Ottavia menghasilkan pakaian sukan knitwear sendiri, termasuk seluar berzip yang boleh dipakai di atas kasut.

Selepas berkahwin pada 1953, pasangan ini memulakan perniagaan mereka di ruang bawah tanah rumah, dengan mencipta corak zigzag tersendiri yang kemudian menjadi ciri khas kepada jenama Missoni.

Kejayaan besar Missoni bermula pada 1958 apabila rangkaian gedung La Rinascente di Milan menempah beratus-ratus koleksi berjalur pelbagai warna.

Populariti mereka semakin meningkat pada 1967 selepas koleksi Missoni dipamerkan di Istana Pitti, Florence.

Menjelang 1967, Missoni mempunyai cawangan di New York dan Paris, serta butik di Milan.

Pasangan ini membantu mendorong tumpuan fesyen Itali dari Florence dan Rom kepada Milan.

Jenama Missoni mendapat pengiktirafan dan anugerah antarabangsa kerana corak yang tersendiri dan penggunaan tekstil avant-garde yang sering dibandingkan dengan seni moden.

LEGASI YANG DIKENANG
Pada 2013, Rosita dan suami ditimpa ujian apabila anak sulung mereka, Vittorio Missoni dan pengarah pemasaran syarikat terbunuh dalam nahas pesawat di luar pantai Venezuela.

Tidak lama kemudian, Ottavia pula meninggal dunia pada Mei 2013 di usia 92 tahun.

Pemergian itu berlaku empat bulan selepas nahas pesawat yang mengorbankan anaknya.

Walaupun melalui kehilangan besar dalam hidupnya, Rosita teguh meneruskan legasi Missoni, yang kini diteruskan oleh anak perempuannya, Angela dan cucu, Margherita Maccapani Missoni.

Beliau yang meninggal dunia pada 1 Januari lalu, bukan hanya dikenang kerana pengaruh dalam mengubah landskap fesyen, bahkan ketabahannya yang boleh dijadikan inspirasi.

Rosita bukan sekadar ikon fesyen, bahkan merupakan pelopor yang berjaya menetapkan standard baharu dalam dunia pakaian knitwear.

Melalui rekaan yang sentiasa berani, penuh warna dan bergaya, legasi Missoni akan terus dihargai serta dikenang selama-lamanya dalam kalangan peminat fesyen seluruh dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×