Lemas dengan asap rokok di warung

Lemas dengan asap rokok di warung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali saya ke premis makanan bertaraf warung, medan selera dan mamak, pasti situasi ini berlaku.

Sudahlah perut lapar, terpaksa pula menghidu udara yang tercemar dan berbahaya kepada kesihatan.

Terputus selera nak menjamah hidangan yang dipesan dek gangguan asap-asap rokok dari meja berdekatan.

Kecik besar mata saya memandang si ‘pesalah’ yang tanpa segan silu menyalakan api rokok dan menghembus asapnya di tempat terbuka.

Makin rancak bersembang dengan kawan-kawan, makin kuat hembusan si perokok tegar.

Pemerhatian saya mendapati dalam tempoh 30 minit, tiga batang rokok dihisap tanpa henti.

Bayangkan kesan buruk yang ditanggung pelanggan lain termasuk saya ketika itu. Seingat saya, ada pelanggan yang turut membawa kanak-kanak dan bayi.

Dalam jarak kami yang boleh dianggap jauh iaitu selang lima meja, namun asap tersebut tetap merebak ke rongga hidung saya.

Si perokok tegar langsung tidak kisah yang perbuatannya itu boleh menimbulkan kemudaratan kepada orang sekeliling.

Sebelum ini apabila situasi sama berlaku, saya pilih berpindah meja biarpun sudah suku nasi ayam gepuk dimakan.

Tetapi kali ini, saya tidak dapat berbuat demikian memandangkan keadaan warung yang sesak di waktu makan malam dan tiada meja lain yang kosong.

Walaupun logo larangan merokok terpampang besar di dinding warung tetapi sedikitpun tidak menggerunkan golongan itu.

Bahkan, pemilik kedai hanya membiarkan tanpa menegur kesalahan pelanggan yang melanggar undang-undang.

Begitulah cabarannya makan di kebanyakan warung dan medan selera di negara ini. Yang peliknya, pemandangan ini tidak pula dilihat di kafe-kafe termasuk yang menyediakan ruangan terbuka.

Rata-rata pelanggan lelaki di kafe lebih ‘beradab’ dengan merokok di seberang jalan atau di luar premis. Selesai ‘aktiviti’ itu barulah mereka kembali semula ke tempat duduk.

Selepas ini, kalau mahu ketenangan ‘udara’ mungkin saya perlu berkunjung ke kafe-kafe untuk menikmati hidangan. Sekali-sekali mungkin boleh, tetapi jika setiap hari, makin menipislah poket nanti.

Berkuatkuasa 1 Januari lalu, sebanyak 28 kawasan larangan merokok diwartakan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Terbaharu, ia melibatkan bangunan dobi dan tempat kerja di samping hospital/klinik, lif/tandas awam, restoran, kedai berpenyaman udara, lapangan terbang, premis kerajaan, institusi pendidikan, pusat beli belah, stesen minyak dan lain-lain.

-Rosalinda Md. Said adalah wartawan Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×